Monday, April 1, 2013

Korea Utara isytihar 'perang' dengan Korea Selatan



SEOUL 30 Mac - Korea Utara hari ini mengisytiharkan negara itu secara rasmi memasuki 'negara perang' dengan Korea Selatan, pengumuman yang ditolak Seoul sebagai ancaman yang sudah lama dinyatakan Pyongyang.
Agensi berita rasmi, Korean Central News Agency (KCNA) melaporkan Pyongyang dalam satu kenyataan menyatakan ketika ini, semua hubungan kedua-dua negara tersebut akan dikendalikan mengikut protokol perang.
''Situasi di Semenanjung Korea yang tergantung antara damai atau perang kini sudah tamat.
''Sebarang provokasi akan mencetuskan konflik berskala besar dan perang nuklear,'' kata kenyataan itu.
Kedua-dua negara Korea itu secara dasarnya masih berperang sejak enam dekad lalu ekoran Perang Korea 1950-1953 hanya tamat dengan perjanjian gencatan senjata berbanding perjanjian damai.
Seoul bagaimanapun tidak memandang serius kenyataan terbaharu Pyongyang tersebut.
''Kenyataan itu bukanlah ancaman terbaharu, ia hanyalah sebahagian daripada ancaman provokasi,'' kata Kementerian Penyatuan Korea Selatan.
Kementerian Pertahanan Korea Selatan menyatakan tiada pergerakan tentera Korea Utara yang dapat dilihat di sempadan negara. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130331/lu_06/Korea-Utara-isytihar-perang-dengan-Korea-Selatan#ixzz2P8MSSXGF
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment