Anggota tentera
Anggota tentera berkawal selepas Taliban tingkatkan serangan di Wilayah Kandahar.
KABUL - Lapan askar perkhidmatan terbunuh dalam tiga serangan berasingan di Afghanistan selepas Taliban meningkatkan serangan sejak seminggu lalu.

Jurucakap Gabenor, Javid Faisal berkata, dalam kejadian pertama satu letupan bom di tepi jalan raya mengorbankan lima anggota tentera Amerika Syarikat (AS).

“Ketika kejadian, askar AS sedang dalam perjalanan dengan trak tentera di daerah Maiwad, selatan Wilayah Kandahar,” katanya.

Menurutnya, dalam serangan kedua pula, dua tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) terbunuh apabila seorang askar Afghanistan melepaskan tembakan ke arah mereka di barat Afghanistan.

Beliau berkata, manakala dalam kejadian ketiga pula, seorang askar AS turut maut selepas diserang di tepi jalan ketika sedang berkawal di sebuah kawasan di utara negara itu.

“Kami percaya semua kejadian itu didalangi kumpulan Taliban ketika operasi pemburuan giat ditingkatkan sejak tentera AS beransur keluar dari negara itu sejak Februari lalu,” katanya.

Sementara itu dipetik daripada laporan Reuters, Jurucakap Taliban, Zabihullah Mujahid memberitahu agensi berita tempatan, serangan itu dilakukan selepas 10 askar mereka terbunuh dalam satu serangan berhampiran Kandahar, Sabtu lalu.