Manila: Pihak berkuasa Filipina semalam menyifatkan ancaman komunis negara itu untuk meningkatkan serangan mereka sebagai bukan perkara baru.
Ketika menjawab soalan mengenai ancaman itu, jurucakap Istana Malacanang, Edwin Lacierda berkata, kumpulan berkenaan tidak pernah menghentikan atau meredakan serangan mereka sejak rundingan rasmi bermula lebih 20 tahun lalu.
Pertubuhan komunis Filipina di bawah Barisan Demokratik Kebangsaan membuat ancaman untuk meningkatkan serangan mereka selepas kerajaan mengumumkan keputusan untuk tidak lagi mengadakan rundingan damai dengan mereka.
“Lebih 20 tahun kita berunding untuk mewujudkan keamanan tetapi mereka terus mengganas.
“Maka, bukan perkara baru jika mereka mengancam untuk meningkatkan serangan,” kata Lacierda.
Dalam wawancara menerusi e-mel dari Utrecht, Belanda, pemimpin komunis Filipina yang hidup dalam buangan Jose Ma Sison berkata, keputusan kerajaan untuk menghentikan rundingan damai menunjukkan ia mahu ‘kami meningkatkan serangan.’
Sementara itu, lima anggota tentera Filipina terbunuh dalam serangan terbaru komunis di wilayah Negros Occidental, kelmarin. - PDI
No comments:
Post a Comment