Monday, May 6, 2013

Indonesia bantah pejabat Papua Barat



Jakarta: Kerajaan Indonesia semalam mengemukakan bantahan keras kepada pihak berkuasa Britain berhubung pembukaan pejabat Papua Barat di Oxford.

“Duta Besar kita sudah dikerah mengemukakan pendirian kita kepada kerajaan Britain,” kata Menteri Luar, Marty M Natalegawa di Jakarta.
Menurutnya, bantahan serupa juga akan disampaikan kepada Kedutaan Britain di Jakarta.

Natalegawa berkata pembukaan pejabat itu tidak sepatutnya dibenarkan.


Beliau turut menganggapnya sebagai langkah ke belakang dalam hubungan Indonesia-Britain lebih-lebih lagi London selama ini mengiktiraf Papua dan papua Barat sebagai sebahagian wilayah Indonesia.


Menurutnya, isu Papua sebagai wilayah Indonesia tidak boleh dipersoalkan selepas pungutan suara yang dilakukan, diakui dan diterima pada 1962.

“Kerajaan Indonesia meminta Britain agar sentiasa konsisten dan bertindak jelas dalam pendiriannya berhubung gerakan pemisah di Papua supaya hubungan persahabatan kedua-dua negara dan masyarakat antara bangsa berkait dengan kedaulatan Indonesia sentiasa terjamin,” kata Natalegawa.

Sementara itu, kerajaan Britain menerusi kedutaannya di Jakarta berkata, negara itu mengulangi pendiriannya yang tidak menyokong gerakan pemisah wilayah Papua dan Papua Barat.

Menurutnya, pembukaan pejabat Papua Barat tidak melambangkan pendirian kerajaan Britain sebaliknya ia keputusan yang diambil oleh Majlis Perbandaran Oxford sendiri.- Antara

No comments:

Post a Comment