Monday, May 6, 2013

Keluarga Gupta minta maaf




GAMBAR fail menunjukkan para tetamu tiba di Pangkalan Tentera Udara Waterkloof, dekat Pretoria baru-baru ini untuk menghadiri majlis perkahwinan Vega Gupta.


JOHANNESBURG - Sebuah keluarga India yang kaya di Afrika Selatan kelmarin meminta maaf selepas sebuah jet peribadi membawa para tetamu untuk menghadiri satu majlis perkahwinan keluarga itu mendarat di sebuah pangkalan tentera baru-baru ini.
Pesawat itu mendarat di Pangkalan Tentera Udara Waterkloof dekat Pretoria tanpa mendapat kebenaran pada Selasa lalu, sekali gus menyebabkan penduduk di negara ini membuat bantahan.
Kira-kira 200 orang tetamu termasuk bintang filem Bollywood dan ahli politik menghadiri majlis perkahwinan Vega Gupta.
Vega merupakan anak saudara perempuan kepada keluarga Atul Gupta yang terkenal sebagai ahli perniagaan di Afrika Selatan.
Menurut Atul yang juga seorang bilionair dan memiliki beberapa buah syarikat termasuk Sahara Computers serta akhbar propemerintah, New Age, pihaknya meminta maaf kepada semua pihak yang terjejas ekoran penggunaan pangkalan tentera itu termasuk pemerintah India dan Afrika Selatan.
Seorang diplomat kanan Afrika Selatan dan beberapa pegawai polis telah digantung perkhidmatan kerana peranan mereka membenarkan jet tersebut mendarat di lapangan terbang tentera terbabit.

VEGA (kiri) mengalungkan bunga kepada suaminya, Aaskash Jahajgarhia pada majlis perkahwinan mereka di Sun City pada Selasa lalu.


Dalam usaha untuk menutup malu, pihak berkuasa Afrika Selatan pada Jumaat lalu mengumumkan siasatan terperinci berhubung skandal yang dianggap mengaibkan dan melanggar undang-undang negara akan dilakukan.
Pesuruhjaya Tinggi India ke Afrika Selatan, Virenda Gupta yang turut dilibatkan dalam skandal itu dipercayai meminta hak pendaratan jet berkenaan.
Ketua Protokol Kementerian Luar, Bruce Koloane digantung tugas pada Khamis lalu sehingga siasatan berhubung pendaratan itu selesai.
Baru-baru ini, keluarga Gupta menyatakan, pihaknya mendapat kebenaran untuk pendaratan jet tersebut yang turut membawa beberapa orang menteri dan tetamu kenamaan lain.
Para tetamu diiringi polis sehingga ke resort Sun City untuk menghadiri perkahwinan besar-besaran selama empat hari itu. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0506&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz2SUbZdmIC 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment