Thursday, June 6, 2013

Adakah Menteri KDN Penjenayah?, Soal Kit Siang



SHAH ALAM, 6 JUN: Lim Kit Siang mengingatkan rakyat Malaysia bahawa Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi masih tidak membersihkan namanya daripada tuduhan serangan yang disabitkan ke atasnya pada 2006.

Penasihat DAP itu bersetuju dengan saranan Pengerusi Biro Undang-Undang DAP, Gobind Singh Deo yang menyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak perlu menggantung Zahid daripada jawatannya.

Sebelum ini, Gobind yang juga Ahli Parlimen Puchong berkata, adalah tidak wajar meletakkan Zahid yang masih mempunyai caj saman sivil ke atasnya sebagai menteri yang mempunyai kuasa besar ke atas agensi penguatkuasaan seperti polis.

Kit Siang berkata, Najib perlu menjelaskan sama ada beliau tahu mengenai dakwaan terhadap Zahid yang ketika itu menjawat jawatan sebagai Timbalan Menteri Penerangan pada tahun 2006.

“Kes ini menimbulkan persoalan penting mengapa Zahid tidak pernah dikenakan oleh pihak polis bagi kesalahan jenayah serangan.

“Ini menimbulkan persoalan lagi sama ada Malaysia mempunyai ‘penjenayah’ sebagai Menteri Dalam Negeri yang baru,” kata Kit Siang dalam satu kenyataan hari ini.

Justeru, Kit Siang mempersoalkan kenapa Zahid tidak diheret ke mahkamah oleh pihak polis dan disabitkan atas serangan jenayah.

Katanya, Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Datuk Paul Low yang dilantik sebagai Menteri Di Jabatan Perdana Menteri perlu mengeluarkan kenyataan sama ada beliau bersetuju bahawa Zahid perlu membersihkan namanya daripada segala tuduhan yang dikenakan terhadapnya

Pada 16 Januari 2006 lalu, Zahid telah didakwa oleh ahli perniagaan, Amir Bazli Abdullah,41 kerana didakwa menumbuk di bahagian mata sehingga mengalami patah tulang hidung dan bengkak mata kiri bertempat di Kelab Rekreasi Country Heights, Kajang.

Zahid telah menafikan dakwaan tersebut dan memohon kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk menutup kes, tetapi mahkamah menolak permohonan tersebut.

Bagaimanapun, pada tahun lalu, tiga panel hakim Mahkamah Rayuan sebulat suara memutuskan untuk membatalkan saman sivil berkenaan dan mengarahkan Zahid membayar RM5,000 sebagai kos.

No comments:

Post a Comment