Kota Bharu: Memilukan apabila lima keluarga terdiri daripada 14 orang terpaksa berhimpit di dalam sebuah rumah peninggalan keluarga di Kampung Tasek Banggu, dekat sini, akibat kemiskinan.
Nur Ain Ramli, 23, berkata, dia dan suami, Mohd Yuki Yusof, 33, bersama tiga anak, Syafiqah Ulfa, 6; Syakir Irfan, 5, dan Mohd Shahran Ramadhan, 3, berpindah ke rumah itu sejak tujuh bulan lalu selepas suaminya ditimpa kemalangan jalan raya ketika pulang bekerja di Pasir Gudang, Johor. Katanya, ketika ini, selain keluarganya, rumah itu didiami ibu mentuanya, Bidah Hussin, 71; kakak iparnya, Siti Halma Yusof, 39, yang juga ibu tunggal tiga anak dengan dua daripadanya sudah berkahwin serta masing-masing mempunyai seorang anak dan turut tinggal di rumah berkenaan.
“Suami saya koma selama setahun akibat kemalangan itu, namun kini sudah sedar. Tetapi, kakinya tempang serta lengan kanan tidak berfungsi selain mengalami masalah pertuturan sehingga tidak mampu bekerja.
“Kami kini bergantung hidup dengan pendapatan kakak ipar (Siti Halma) yang membuka gerai makan di Tanjung Mas, Pengkalan Chepa selain bantuan bulanan daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) berjumlah RM250 sebulan,” katanya.
Menurut Nur Ain, dia beberapa kali tidak dapat membayar yuran persekolahan anaknya selain terpaksa memberhentikan rawatan fisioterapi suaminya di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian akibat ketiadaan wang dan masalah pengangkutan. “Ibu mentua pula turut menghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi sehingga satu jari kaki kirinya terpaksa dipotong dua tahun lalu,” katanya. Dalam pada itu, Mohd Yuki memohon jasa baik sesiapa yang pakar dalam urutan membantu memulihkan masalah saraf dialaminya supaya dapat kembali bekerja.
“Saya sedih melihat kakak (Siti Halma) bekerja tanpa henti dan berharap dapat sembuh bagi membantu keluarga mengikut kemampuan yang ada,” katanya.
Orang ramai yang ingin menyalurkan sumbangan dan membantu keluarga berkenaan boleh menghubungi Nur Ain di talian 013-7739139.
No comments:
Post a Comment