Thursday, June 6, 2013

Surat terbuka untuk Ketua Polis Negara



Tan Sri, Saya berasa terpanggil untuk menulis bagi pihak diri dan ahli keluarga saya yang bimbangkan keselamatan mereka di tengah-tengah pelbagai kes jenayah negeri yang semakin menjadi-jadi seminggu dua ini.
Saya percaya majoriti rakyat Malaysia hari ini turut berasa terancam dengan pelbagai kejadian jenayah malah tidak kurang yang pernah menjadi mangsa jenayah.
Peningkatan kadar jenayah yang semakin membimbangkan mutakhir ini telah menyaksikan pelbagai inisiatif dan langkah keselamatan diambil oleh pelbagai lapisan masyarakat bagi melindungi diri dan ahli keluarga mereka daripada ancaman jenayah.
Saban hari kita melihat percambahan komuniti berpagar dan kawalan keselamatan 24 jam di kawasan-kawasan perumahan, selain pelbagai kempen keselamatan diri terutama bagi wanita yang sering menjadi mangsa jenayah seperti ragut.
Dalam keadaan kos hidup yang semakin melonjak, kami terpaksa berbelanja lebih untuk memastikan keselamatan kami dengan mengupah pengawal keselamatan, memasang penggera di rumah dan kereta, belajar seni mempertahankan diri dan membeli pelbagai peralatan mencegah jenayah.
Kami mengalu-alukan usaha-usaha memerangi jenayah oleh pelbagai peringkat komuniti, badan bukan kerajaan dan masyarakat sivil.
Ia merupakan langkah positif untuk mewujudkan persekitaran yang selamat dan bebas jenayah.
Namun, ingin ditegaskan di sini bahawa tugas ini adalah tugas utama polis!
Senario di atas secara tidak langsung menyerlahkan ketidakupayaan, kelemahan malah kegagalan pihak PDRM dalam menangani jenayah yang semakin menjadi-jadi.
Kami amat kesal melihat kelemahan pihak polis dalam menjalankan amanah mereka sebagai pasukan keselamatan sehingga menyebabkan kami rakyat kebanyakan terpaksa menjaga keselamatan sendiri tanpa perhatian serius daripada pasukan polis, sedangkan kami sebagai pembayar cukai berhak mendapat jaminan keselamatan daripada pasuka polis.
Tan Sri,
Menurut laman web PDRM, Polis Diraja Malaysia terdiri daripada 102,037 orang pegawai dan anggota.

Laman web itu antara lain menyatakan bahawa “keanggotaan ini mencerminkan kepelbagaian penugasan yang dijalankan oleh PDRM, dari tugas am yang menjalankan tugas tradisional kepolisan dan sentiasa berdampingan dengan rakyat. Dalam melaksanakan amanah serta tanggungjawab yang disandarkan oleh rakyat, PDRM dibantu oleh kumpulan sokongan yang terdiri dari Polis Tambahan, Sukarelawan Polis, Polis Bantuan, Kadet Polis dan kakitangan awam. Kumpulan ini memainkan peranan yang penting dalam menentukan keselamatan dan kesejahteraan negara.”
Visi PDRM pula ialah menjadi “agensi peneraju dalam menjadikan Malaysia negara yang selamat, aman dan sejahtera manakala misi mereka ialah untuk menyediakan perkhidmatan profesional dan berkualiti dalam melindungi negara dan menjamin persekitaran yang selamat bagi masyarakat.” Walau bagaimanapun, kami yakin bahawa pada hakikatnya lebih banyak yang harus dilakukan oleh pihak polis di Malaysia untuk mencapai visi dan misinya.
Persoalan utama yang wajib ditanya kepada pihak polis ialah, dengan sumber yang ada, apa yang telah dilakukan oleh pihak polis dalam memerangi jenayah dan memastikan keselamatan rakyat?
Ya kami sedar ini ialah soalan yang naif, tetapi mengapa kami sebagai orang awam sentiasa berasa terancam dan takut untuk melakukan aktiviti harian tidak kira siang dan malam?
Mengapa kami berasa takut walapun berada di dalam rumah?
Lebih penting lagi, mengapa kami yang harus lebih berhati-hati daripada menjadi mangsa jenayah?
Bukankah penjenayah yang harus lebih berhati-hati kerana mereka adalah pelaku jenayah yang sebenar?
Adakah ini disebabkan kelemahan pihak polis sekaligus gagal menimbulkan rasa takut di kalangan penjenayah?
Kami percaya bahawa pasukan polis yang profesional harus menggerunkan penjenayah.
Bukankah pihak polis, dan bukannya orang awam, yang mempunyai kuasa di bawah peruntukan undang-undang untuk memerangi jenayah, mewujudkan suasana selamat dan mengambil tindakan terhadap penjenayah seperti yang dijanjikan dalam misi dan visinya?
Adakah pihak polis benar-benar melaksanakan tanggungjawab mereka atau sebaliknya? Kredibiliti pihak polis dalam membanteras jenayah harus dipersoalkan memandangkan mereka gagal menimbulkan rasa selamat di kalangan orang awam apatah lagi meyakinkan masyarakat bahawa pihak polis boleh dipercayai dalam membasmi kegiatan jenayah. Sebaliknya kami sering dikejutkan dengan pelbagai insiden penyalahgunaan kuasa, rasuah dan keganasan pihak polis (kematian dalam tahanan polis dan kekerasan dalam mengendalikan perhimpunan aman adalah antara contoh popular). 
Hal ini diburukkan lagi dengan sikap pasukan polis yang sering menidakkan pelbagai statistik kadar jenayah di samping kelewatan mereka bertindak dalam kes-kes jenayah dibandingkan dengan kes-kes melibatkan ahli politik pembangkang.
Sekiranya sumber dan keupayaan pihak polis diupayakan sepenuhnya untuk memerangi jenayah dan bukannya menidakkan statistik atau berpolitik, tidak mustahil kadar jenayah dapat dikurangkan dan suasana yang lebih selamat dapat diwujudkan.
Apa pun statistik jenayah yang sebenar, yang penting ialah kami sebagai orang awam berasa lebih selamat dan tidak lagi menjadi mangsa jenayah.
Sikap tidak profesional pihak polis dalam mengendalikan sebarang aduan dan laporan berkaitan jenayah tidak kira jenayah serius atau jalanan turut melunturkan keyakinan orang ramai terhadap keupayaan pihak polis.
Contohnya, tiada sebarang tindakan susulan diambil ke atas kebanyakan aduan tentang kes ragut dan kebanyakan kes tidak diselesaikan dan tiada sesiapa yang dibawa ke muka pengadilan.
Laporan polis hanyalah untuk rekod tanpa sebarang tindakan konkrit. Tidak kurang juga pelbagai spekulasi tentang gejala rasuah di kalangan anggota polis yang telah membantutkan usaha-usaha mencegah jenayah.
Tan Sri,
Sehingga kerajaan benar-benar berani untuk menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC), kami akan terus mendesak pasukan polis sendiri untuk melaksanakan tanggungjawab mereka kepada rakyat dengan telus, cekap, profesional dan tidak berpihak.
Kami percaya pihak polis lebih arif tentang langkah-langkah yang perlu diambil untuk meningkatkan keselamatan rakyat. Apa pun langkah yang akan diambil, keselamatan rakyat harus menjadi keutamaan dan kami tidak berasa takut lagi untuk tinggal di negara ini.
Kami merayu agar fokus pihak polis ditumpukan sepenuhnya untuk menjaga keselamatan rakyat dan membanteras jenayah.
Kami berharap agar kredibiliti pasukan polis dikembalikan dengan memperkasakan sebarang usaha memerangi jenayah tanpa sebarang campur tangan politik dan korupsi.
Kami sudah punya cukup ahli politik, tidak perlukan PDRM untuk berpolitik di negara ini!

No comments:

Post a Comment