Thursday, June 6, 2013

Rasis Dan Perkauman: DAP gesa hentikan tayangan ‘Tanda Putera’, ‘Interlok’



KUALA LUMPUR, 6 Jun — DAP hari ini menggesa kerajaan menghentikan tayangan filem kontroversi Tanda Putera dan drama siri Interlok serta mempersoalkan sama ada penayangan dua karya seni tersebut sebagai “hukuman kepada komuniti India dan Cina yang tidak menyokong Barisan Nasional (BN)” dalam pilihan raya lepas.
Naib Pengerusi DAP M. Kulasegaran (gambar) menegaskan tayangan kedua-dua filem dan drama siri TV itu perlu dihalang sekiranya BN ikhlas untuk memperjuangkan perpaduan kaum di negara ini.
“Adakah tayangan Interlok untuk mengajar masyarakat Cina dan India kerana tidak menyokong BN dalam pilihan raya umum?” soal ahli Parlimen Ipoh Barat itu dalam kenyataannya hari ini.
“Saya ingin memberi amaran kepada kerajaan BN sekiranya mereka ingin menghukum pengundi disebabkan mereka tidak menyokong BN, akan ada Tsunami Malaysia yang lebih kuat menentang BN dalam pilihan raya akan datang,” tegasnya.
Pasukan Bertindak India Nasional (NIAT) semalam mendakwa kerajaan telah menyediakan RM1 juta dana untuk drama adaptasi novel kontroversi Interlok sebanyak 13 episod yang akan disiarkan oleh RTM.

Pengerusi NIAT Datuk Thasleem Mohamed Ibrahim mendakwa keputusan itu dibuat selepas kerajaan memutuskan menarik balik novel itu daripada menjadi teks sastera di sekolah pada Disember 2011.
“Kami fikir isu itu sudah tamat, tetapi RTM akan menayangkan drama siri menggunakan jalan cerita daripada buku ini. Apa agenda di belakang perkara ini?” katanya.
NIAT jelasnya mendapat pengesahan berhubung perkara itu daripada pengurus produksi drama itu serta dua pelakon terlibat.
Beliau kemudiannya menuntut pembatalan segera penggambaran drama itu yang didakwa bermula pada 1 Julai atau mereka akan bertindak menggagalkannya.
“Dengan komuniti India menentang penggunaan buku tersebut, kumpulan Cina juga jelas menyatakan tentangan mereka terhadap isi kandungan buku tersebut,” kata Kulasegaran.
“Saya menyeru Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) menerima kehendak orang ramai - membatalkan tayangan Interlok dan penayangan Tanda Putera yang menerima kritikan ekoran silap memaparkan keadaan sebenar insiden 13 Mei,” tegasnya.
“Perpaduan nasional dan keharmonian kaum perlu diutamakan daripada kepentingan parti,” tegasnya lagi.
Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) Raja Rozaimie Dalnish Shah mengesahkan filem Tanda Putera arahan Datin Paduka Suhaimi Baba disahkan akan ditayang pada 29 Ogos depan.
Filem yang diterbitkan Pesona Pictures Sdn Bhd itu telah mendapat kritikan meluas apabila didakwa memaparkan fakta salah terhadap insiden 13 Mei.

No comments:

Post a Comment