Thursday, June 6, 2013

PETRONAS untung RM28.8b

PETRONAS untung RM28.8b
Susut tiga peratus pada suku sama tahun lalu

PETRONAS meraih keuntungan sebelum cukai RM28.8 bilion dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini, susut tiga peratus berbanding RM29.8 bilion yang dicatatkannya pada suku sama tahun lalu.

Pendapatannya dalam tempoh itu bagaimanapun meningkat 1.8 peratus kepada RM76.67 bilion daripada RM75.25 bilion.
Penyusutan keuntungan sebelum cukai dalam suku pertama itu disebabkan harga minyak lebih rendah, iaitu pada purata AS$112 setong berbanding AS$118 setong pada suku pertama 2012, walaupun ia diimbangi oleh pengukuhan nilai dolar Amerika Syarikat (AS) serta peningkatan pengeluarannya.


Jika dibandingkan dengan suku keempat 2012 pula, keuntungan sebelum cukai PETRONAS pada suku pertama tahun ini itu meningkat 88 peratus berikutan purata harga minyak lebih tinggi berbanding dalam tempoh tiga bulan terakhir tahun lalu di samping pengukuhan berterusan nilai dolar AS dan pengeluarannya yang terus meningkat.

Jumlah aset keseluruhan syarikat minyak kebangsaan itu setakat 31 Mac lalu adalah RM498.7 bilion, meningkat berbanding RM489.2 bilion setahun sebelumnya.

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PETRONAS, Datuk Shamsul Azhar Abbas, berkata di sebalik persekitaran perniagaan mencabar dan kedudukan ekonomi global yang masih tidak menentu ini, kumpulan itu menjangka mampu menyamai prestasi yang dicapai pada 2012 iaitu mencatatkan keuntungan sebelum cukai sekitar RM89 bilion bilion bagi seluruh tahun ini.

Beliau berkata, ia bersandarkan kepada jangkaan peningkatan pengeluaran kira-kira dua peratus yang sekali gus akan mengimbangi unjuran penurunan harga minyak.
“Keadaan ekonomi global yang tidak menentu dijangka menyebabkan penurunan berterusan harga minyak serta permintaan minyak dunia yang boleh memberi kesan kepada prestasi keseluruhan PETRONAS.

“Harga minyak diunjurkan berada antara AS$95 hingga AS$100 tahun ini, namun pengeluaran akan terus meningkat. Dari segi operasi, tiada banyak perubahan dijangkakan berlaku untuk 2013 ini,” katanya kepada pemberita selepas mengumumkan prestasi suku pertama 2013 PETRONAS di Kuala Lumpur, semalam.

Yang hadir sama ialah Pengerusi PETRONAS, Tan Sri Mohd Sidek Hassan dan barisan kepimpinan kanannya.

Shamsul Azhar berkata, pencapaian suku pertama PETRONAS adalah memuaskan berdasarkan pelbagai faktor, khususnya selepas mengambil kira pengeluarannya di Sudan yang dihentikan sejak 15 bulan lalu.

“Kami kehilangan keuntungan sekitar AS$1 bilion (kira-kira RM3 bilion) daripada operasi di Sudan bagi suku pertama 2013. Pengeluaran di Sudan baru saja dimulakan semula pada Mac lalu,” katanya.

Beliau berkata, pengeluarannya di peringkat domestik dan Kanada ketika ini mengimbangi sumbangan kecil dari lapangan minyak Sudan yang hanya dijangkakan meningkat kepada 120,000 tong sehari pada pertengahan tahun depan berbanding 200 tong sehari sekarang.

Pengeluaran dari Sudan dianggarkan menyumbang sehingga tujuh peratus kepada pengeluaran hidrokarbon PETRONAS pada 2011 sebelum operasinya dihentikan tahun lalu berikutan ketegangan geopolitik yang melanda negara itu.

Dalam perkembangan lain, PETRONAS menegaskan ia sentiasa mengikuti standard antarabangsa semasa melaporkan operasi luar negaranya.

“Kami sentiasa mendedahkan maklumat berhubung projek luar negara. PETRONAS adalah antara syarikat minyak milik negara yang sangat telus dalam setiap perkara yang dilakukan. PETRONAS tidak akan dianugerahkan sebarang kontrak jika tidak mengamalkan ketelusan,,” kata Naib Presiden Kewangannya, Datuk George Ratilal semasa ditanya mengenai gesaan beberapa pihak supaya firma minyak dan gas itu melakukan audit bagi operasi luar negara.

No comments:

Post a Comment