Thursday, June 6, 2013

Ribuan pekerja desak Erdogan letak jawatan



BAHAGIAN penunjuk perasaan berhimpun di Taman Gezi dekat Dataran Taksim di Istanbul semalam.


ISTANBUL - Beribu-ribu pekerja yang mogok berarak ke jalan-jalan raya di beberapa buah bandar di Turki semalam untuk mendesak Perdana Menteri Recep Tayyip Erdogan meletak jawatan ketika tunjuk perasaan menentang pentadbirannya terus memuncak.
Ribuan pekerja itu yang terdiri daripada guru, doktor, pekerja bank dan kakitangan sektor lain berarak dan membawa bendera kesatuan sekerja di Ankara dan bandar raya Istanbul.
Mereka turut berhimpun di Dataran Taksim yang menjadi lokasi pertempuran ganas melibatkan kumpulan penunjuk perasaan dengan pihak berkuasa sejak hampir seminggu lalu.
"Taksim, kami datang," kata mereka sambil melaungkan slogan yang menuntut Erdogan meletakkan jawatan.
Perdana Menteri itu yang berdepan cabaran terbesarnya selepas sedekad memegang tampuk pentadbiran melabelkan penunjuk perasaan tersebut sebagai pelampau dan samseng. Sebanyak dua orang terbunuh sepanjang enam hari kekacauan berlaku di negara ini dengan beratus-ratus penunjuk perasaan turut ditangkap.
Beberapa pertempuran turut tercetus dalam tempoh semalaman apabila polis melepaskan gas pemedih mata dan meriam air ke arah penunjuk perasaan di beberapa bandar raya utama termasuk di Istanbul.
Di bandar Izmir, pihak berkuasa dilaporkan menahan 25 orang kerana menyiarkan mesej berunsur fitnah di laman Twitter.
"Erdogan perlu memohon maaf, meletak jawatan dan dihadapkan ke mahkamah kerana tindakannya menggunakan kekerasan melampau," kata seorang usahawan berusia 26 tahun, Tansu Tahincioglu di Istanbul. Dua buah kesatuan sekerja terbesar di Turki turut melancarkan mogok selama dua hari bermula semalam bagi menyokong protes tersebut.
Tunjuk perasaan yang merebak ke seluruh negara itu bermula selepas sekumpulan penduduk tempatan membantah rancangan untuk membangunkan semula sebuah taman dekat Dataran Taksim di Istanbul. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0606&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz2VNjpVp00 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment