Saturday, August 30, 2014

Arab Saudi pertingkat tahap pemeriksaan kesihatan


JABATAN Hal Ehwal Kesihatan Arab Saudi mempertingkatkan pemeriksaan bagi mencegah kemasukan warga asing yang dijangkiti penyakit berbahaya. - AGENSI
JEDDAH 29 Ogos - Jabatan Hal Ehwal Kesihatan Arab Saudi, hari ini mengarahkan agensi kesihatan yang ditempatkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdulaziz dan Pelabuhan Islam Jeddah untuk memperhebatkan pemeriksaan kesihatan sebagai langkah mencegah penyebaran wabak berbahaya ke negara ini.
Pengarah jabatan berkenaan, Dr. Sami Badawood berkata, semua jemaah haji di dua kawasan pintu masuk tersebut akan diperiksa dengan teliti terutama membabitkan jangkitan Sindrom Pernafasan Asia Barat-Virus Korona (MERS-CoV), Ebola dan beberapa virus lain.
Sami berkata, pemeriksaan itu dilakukan bagi mencegah kemasukan warga asing yang dijangkiti penyakit berbahaya dari memasuki negara Asia Barat ini.
Untuk tujuan tersebut katanya, kesemua pusat pemeriksaan kesihatan yang dibuka di kedua-dua lokasi terbabit turut disediakan dengan kelengkapan canggih dan kakitangan perubatan yang berkelayakan tinggi.
"Seramai 620 kakitangan perubatan ditempatkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdulaziz dan 100 kakitangan lagi ditempatkan di Pelabuhan Islam Jeddah.
"Mereka akan melakukan pemeriksaan kesihatan sepanjang tempoh 24 jam sehari," kata Sami kepada portal berita Saudi Gazzete.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140830/lu_07/Arab-Saudi-pertingkat-tahap-pemeriksaan-kesihatan#ixzz3Bon6gdRN
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment