Saturday, August 30, 2014

Calon MB Selangor: Shuhaimi selar tindakan Rafizi

JUMAAT, 29 OGOS 2014 @ 10:32 PM

 
SHAH ALAM: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor daripada PKR hari ini menyelar Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli yang mendesak mereka membuat kenyataan menarik diri daripada dicalonkan sebagai Menteri Besar Selangor.

Ketua Penerangan PKR, Shuhaimi Shafiei yang juga ADUN Sri Muda, berkata tindakan Rafizi itu yang mahu mereka membuat kenyataan terbuka adalah tidak perlu kerana ia dilihat seolah-olah cuba menghina mereka.

"Saya berpandangan tidak perlu saya dan rakan-rakan ADUN diarah buat kenyataan tarik diri kerana kami bukanlah orang yang dicalonkan sebagai menteri besar.

"Siapa Rafizi yang hendak menyuruh kami membuat itu dan ini? Jika beliau mempunyai cadangan yang difikirkan baik, bawalah ke dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat untuk kita bincangkan dan membuat keputusan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.



Shuhaimi turut mempersoalkan tindakan Rafizi yang menggunakan saluran media bagi menyelesaikan isu dalaman parti, sekali gus memberikan imej buruk terhadap parti.

Rafizi dalam satu kenyataan hari ini menyeru ADUN daripada PKR berbuat sedemikian sebagai menunjukkan sokongan terbuka kepada presiden parti itu, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Semalam, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta semua pihak termasuk PAS menerima keputusan memilih Dr Wan Azizah sebagai calon tunggal Menteri Besar Selangor yang baharu yang dimuktamadkan pada mesyuarat Majlis Presiden Pakatan pada 17 Ogos lepas.

- BERNAMA

No comments:

Post a Comment