Saturday, August 30, 2014

Panda makan 6 kali sehari


Kuala Lumpur: Perlu bersedia 24 jam sehari demi menjaga dua ekor panda gergasi di Zoo Negara.
Demikian tanggungjawab yang perlu dipikul lima penjaga panda gergasi yang dipinjamkan kerajaan China, Fu Wa (jantan) dan Feng Yi (betina) bagi memastikan haiwan itu dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran barunya yang begitu asing di Malaysia.

Azrenizam Ibrahim, 36, yang berpengalaman hampir 18 tahun menjadi penjaga bagi pelbagai jenis haiwan berkata, memang banyak cabaran menjaga panda pada peringkat awal kerana haiwan itu sedang menyesuaikan diri dengan tempat baru.
“Sebelum ini, saya hanya berpeluang melihat haiwan ini menerusi televisyen saja.

“Kini, saya tidak sangka menjadi penjaga kedua-dua haiwan ini dan perlu berada di situ sepanjang masa,” katanya.

Menurutnya, dia mula ‘berkenalan’ dengan pasangan panda itu selepas terpilih untuk berkursus di China sebagai penjaga panda pada September tahun lalu.
Foto
PANDA makan sehingga dua kilogram untuk setiap hidangan.
“Ketika di dalam kursus, agak janggal bagi saya kerana panda gergasi perlu diberi makanan enam kali sehari selain memerlukan 24 jam pemantauan berbanding binatang lain yang hanya makan dua kali sehari.

“Bagaimanapun, selepas hampir empat bulan bersama haiwan ini, kini apabila saya memanggil nama mereka, kedua-dua ekor panda itu akan datang ke arah saya,” katanya.
Azrenizam berkata, sekurang-kurangnya 25 kilogram buluh jenis betong dan aur diperlukan untuk makanan seharian haiwan itu.

“Buluh ini akan dipotong dan dicuci sebelum ditimbang. Setiap kali menyediakan makanan sebanyak 1.7 hingga dua kilogram disajikan untuk setiap ekor panda,” katanya.

Menurutnya, makanan lain seperti epal, lobak merah dan kek panda juga disediakan sebagai makanan ringan haiwan itu.

Sementara itu, rakannya Mohd Fitri Mohd Yusof, 32, berkata, walaupun haiwan itu nampak jinak, namun mereka tidak digalakkan terlalu rapat dengannya buat masa ini.

“Panda gergasi ini masih lagi menyesuaikan diri dengan tempat ini dan ia perlukan masa. Haiwan ini juga kuat makan dan menjadi murung jika sakit.

“Jika haiwan ini lapar ia akan menjadi terlalu aktif seperti berlari dan memanjat.

“Oleh kerana itu, untuk mengelakkan ini berlaku, makanan akan diberikan mengikut waktu ditetapkan iaitu jam 8 pagi, 11.30 pagi, 2.30 petang, 5 petang, 8 malam dan 10 malam hari,” katanya.

Ditanya mengenai najis dan kerja-kerja pembersihan, Mohd Fitri berkata, setiap kali sebelum makanan diletakkan, najis dan sisa makan lama akan dibersihkan.

“Setiap hari hampir 11 kilogram najis bagi setiap ekor akan dikumpulkan untuk ditimbang serta diperiksa terlebih dulu,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/30

No comments:

Post a Comment