Saturday, August 30, 2014

Himpunan 11 Sept bantah Felda diskriminasi peneroka


ANIS NAZRI | .
KUALA LUMPUR: Satu himpunan besar-besaran membabitkan para peneroka akan diadakan di hadapan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) pada 11 Sept depan.

Himpunan yang mensasarkan 1,000 peneroka itu dijadualkan bermula jam 11 pagi bagi menyatakan bantahan terhadap pengurusan Felda berhubung beberapa isu peneroka yang sekian lama didiskriminasikan.

Badan pejuang hak peneroka, Pertubuhan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) yang menganjurkan himpunan itu juga akan menyerahkan memorandum kepada Suhakam.

Menurut Pengerusi Anak, Mazlan Aliman, penyerahan memorandum itu berkaitan krisis harga komoditi sawit yang semakin merudum serta isu diskriminasi terhadap peneroka.

"Kejatuhan harga komiditi sawit ini semakin membimbangkan. Kelmarin di Jengka, saya dimaklumkan kadar perahan gred (KPG) pada kadar 19-20 peratus, harga RM 400 per matrik tan, malah ada yang dapat RM 380 sebulan," kata beliau pada satu sidang akhbar di Pejabat Agung PAS, hari ini.

Katanya, kerajaan tidak mengambil sebarang langkah proaktif bagi menyelesaikan krisis berkenaan walaupun ia menyebabkan kehidupan para peneroka terjejas.

Selain itu, tambah Mazlan soal diskriminasi yang dikenakan ke atas beberapa peneroka yang bertindak menyaman Felda juga akan diketengahkan memandangkan ia jelas melanggar hak asasi para peneroka berkenaan.

Sejurus itu, kata Mazlan, memorandum sama akan turut diserahkan ke Jabatan Perdana Menteri, di Putrajaya pada jam 3 petang, hari yang sama.

Sehubungan itu, beliau menggesa para peneroka agar terus bersama-sama menyertai himpunan tersebut sebagai tanda solidariti terhadap isu-isu berkaitan hak asasi peneroka.

Turut serta pada sidang media tersebut Penasihat Anak, Dr. Rosli Yaakop, AJK Lajnah Tanah dan Pembangunan Wilayah PAS Pusat, Kolonel (B) Mohd Nazari Mokhtar, bekas Pengarah Eksekutif Felda Plantations, Muhammad Said Jonit dan wakil peneroka, Abdul Rahman Jamhari. - HARAKAHDAILY 29/8/2014

No comments:

Post a Comment