Saturday, August 30, 2014

Erdogan Presiden baharu Turki


BEKAS Presiden Turki, Abdullah Gul (dua hari kanan) menyambut kedatangan Recep Tayyip Erdogan (dua dari kiri) dalam satu majlis di Istana Presiden, Ankara, kelmarin. - AFP
ANKARA 29 Ogos - Recep Tayyip Erdogan mengangkat sumpah sebagai Presiden baharu Turki semalam, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai pemimpin paling berkuasa di negara ini walaupun langkah itu mengundang kebimbangan pihak pembangkang terhadap kemungkinan berlakunya pemerintahan kuku besi dan penyebaran pengaruh agama dalam kehidupan rakyat.
Dalam upacara angkat sumpah di Parlimen itu, Erdogan berjanji akan mempertahankan kemerdekaan dan maruah Turki berlandaskan Perlembagaan mengikut prinsip Mustafa Kemal Ataturk, pengasas negara moden Turki.
Erdogan yang sebelum ini menyandang jawatan sebagai Perdana Menteri sejak tahun 2003, secara konsisten berjaya mengubah negara ini dari segi domestik sehingga menjadi kuasa besar serantau.
Namun pembaharuan politik Turki itu mendapat tentangan daripada parti pembangkang utama apabila Ahli-Ahli Parlimen pembangkang dari Parti Republik Rakyat (CHP) bertindak meninggalkan majlis angkat sumpah berkenaan.
Presiden parti itu, Kemal Kilicdaroglu pula memulaukan majlis tersebut dengan menyatakan Erdogan melanggar Perlembagaan kerana kekal menggalas jawatan Perdana Menteri selepas beberapa minggu memenangi pilihan raya Presiden.
"Kami menjadi lebih bimbang berbanding sebelum ini tentang seorang lelaki yang mengamalkan pemerintahan autokratik di Turki," kata Timbalan Pengerusi CHP, Aykan Erdemir.
Sementara itu, polis terpaksa menyuraikan kira-kira 200 orang penunjuk perasaan yang berkumpul di Dataran Istiklal, di Istanbul yang membantah pelantikan Erdogan sambil membawa sepanduk yang tertera 'jawatan Presiden tidak dapat menghapuskan rasuah dan pencuri'.
Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri baharu Turki, Ahmet Davutoglu akan mengumumkan Kabinetnya hari ini, dengan kerajaan baharu itu dijangka tidak akan membuat sebarang perubahan besar.
Ahmet tiba di Istana Presiden untuk menyerahkan senarai nama anggota Kabinet kepada Erdogan kira-kira pukul 11.30 pagi waktu tempatan (4.30 petang waktu Malaysia). - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140830/lu_04/Erdogan-Presiden-baharu-Turki#ixzz3BomRqjn3
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment