JUMAAT, 29 OGOS 2014 @ 4:01 AM
Oleh Mohd Izani Mohd Zain
rencana@bh.com.my
Kemelut jawatan Menteri Besar Selangor melangkah ke fasa baharu apabila Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan parti dalam pakatan pembangkang menyediakan lebih daripada dua nama bagi baginda memilih calon terbaik untuk mengisi jawatan eksekutif nombor satu negeri itu.
Keputusan Sultan Selangor itu mencetuskan pelbagai tafsiran dan membawa kepada bacaan politik menarik. Banyak pihak memujinya yang menzahirkan keprihatinan Tuanku untuk melihat Selangor dipimpin Menteri Besar yang benar-benar layak dan berwibawa demi kepentingan rakyat.
Ia juga menjelaskan peranan Sultan tetap diiktiraf dan penting melalui pelaksanaan konsep Demokrasi Beraja. Perlembagaan kita termasuk Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri mengekalkan institusi Raja selain beberapa kuasa budi bicara Raja yang ada kaitan dengan sistem demokrasi.
Dalam konteks di Selangor, mengikut Perkara LI (1), Perkara LIII (2) (a), (4) dan LV (2) (a) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959, Sultan Selangor diperuntukkan kuasa budi bicara mutlak dalam pelantikan Menteri Besar yang pada pendapat baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Pencalonan lebih daripada dua nama memaksa pakatan pembangkang memikirkan nama selain Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. Namun, PKR dan DAP tetap berdegil untuk hanya mencalonkan Dr Wan Azizah. Hujah mereka, ia mengikut konvensi dalam pelantikan Menteri Besar Selangor pada 2013 apabila hanya nama Khalid dipersembahkan untuk perkenan Sultan Selangor.
Sebaliknya PAS menyambut baik titah Sultan itu. Sejak awal lagi, PAS dapat menghidu pencalonan Dr Wan Azizah mempunyai masalah dan mengambil keputusan menamakan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali sebagai calon alternatif. Namun, Azmin menarik pencalonannya atas alasan meng-hormati pendirian PKR.
Menanti pencalonan daripada PAS
Sejak dahulu lagi, PAS menolak jawatan Menteri Besar kerana berpandangan ia milik PKR walaupun memiliki jumlah ADUN 15 kerusi, sama dengan DAP. Bersandarkan semangat kerjasama politik, pendirian PAS konsisten dan berpuas hati sekadar empat jawatan EXCO. Namun, titah terbaharu Sultan Selangor itu membuka ruang kepada PAS mencalonkan ADUN daripada pihaknya untuk jawatan Menteri Besar.
Meskipun pencalonan itu dijangka mengheret konflik PAS dalam pakatan pembangkang lebih dalam lagi, ia boleh berbuat demikian jika mendapati tidak ada ADUN PKR yang benar-benar layak.
Setiausaha Agung PAS, Mustafa Ali telah memaklumkan PAS akan mempersembahkan tidak kurang dua nama calon kepada Sultan Selangor selepas menerima surat pemakluman rasmi daripada istana. Menurut beliau, ia sebagai menghormati dan menjunjung titah Sultan.
Jika PAS bersedia mencalonkan ADUN dari pihaknya, empat EXCO dari PAS akan menjadi pertaruhannya sebagai calon Menteri Besar. Namun, dua nama yang disebut-sebut. Yang pertama ialah Iskandar Abdul Samad, iaitu EXCO Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Peneroka Bandar yang juga Pesuruhjaya PAS Selangor dan yang kedua adalah Dr Ahmad Yunus Hairi, iaitu EXCO Belia dan Sukan, Infrastruktur dan Kemudahan Awam. Dr Halimah Ali juga adalah EXCO kanan dalam Kerajaan Negeri Selangor yang telah berkhidmat sejak tahun 2008, namun, kecenderungan PAS untuk mencalonkan beliau amat rendah.
Perlu berjiwa besar
Jika pakatan pembangkang benar-benar mahu menukar Menteri Besar dan menyelesaikan krisis ini segera, mereka perlu berjiwa besar dan sanggup menamakan calon selain Dr Wan Azizah termasuk dari PAS. Ini lebih kritikal terutama jika PKR sendiri tidak mempunyai calon yang sesuai dan layak untuk dipertimbangkan sebagai Menteri Besar.
Isu kelayakan ADUN PKR dalam pelantikan Menteri Besar pernah didedahkan Syed Husin Ali dalam bukunya, Memoir Perjuangan Politik Syed Husin Ali. Dalam isu pelantikan Menteri Besar di Perak pada tahun 2008, PKR tidak dapat membawa calon berkelayakan tinggi. Berikutan itu, Mohammad Nizar Jamaluddin dari PAS, seorang jurutera telah dipersetujui dan dilantik oleh Sultan Perak sebagai Menteri Besar (sebelum Datuk Seri Dr Zambry Kadir diangkat sebagai Menteri Besar yang baharu pada 6 Februari 2009).
Amat jelas usaha menukar Khalid sudah menjadi senjata makan tuan kepada pakatan pembangkang. Bukan saja masih gagal menggantikan Khalid, tetapi merongrong dan memecah-belahkan pakatan pembangkang. PAS menerima kesan terburuk apabila ia mengundang pergolakan dalaman agak serius, sebaliknya DAP langsung tidak tergugat.
Apa yang pasti, pakatan pembangkang perlu menyelesaikan krisis Menteri Besar ini dengan membawa pencalonan seperti dititahkan Sultan. Jika ia tidak diselesaikan dan berlarutan sehingga Sidang Dewan Undangan Negeri pada November akan datang, ada kemungkinan berlakunya undi tidak percaya kepada Khalid. Ketika itu, tidak mustahil DUN boleh dibubarkan dan diadakan pilihan raya baharu. Dalam hal ini, rakyat akan menjadi mangsa permainan politik dan krisis ini. Rakyat Selangor tidak wajar dianiaya sebegitu kerana mereka berhak mendapat khidmat terbaik daripada wakil rakyat dan kerajaan yang mereka pilih.
Pelantikan Menteri Besar secara tradisinya dibuat secara cermat, hormat dan teratur kerana ia membabitkan kuasa dan perkenan Sultan. Sejarah membuktikan ini berkali-kali. Justeru, pakatan pembangkang perlu cerdik menyelesaikan krisis ini. Sesiapa saja yang menjadi pilihan Sultan mestilah diterima dengan hati terbuka. Kita yakin dengan kebijaksanaan Sultan. Buat masa sekarang, mari kita berteka-teki dan menebak misteri calon Menteri Besar.
Penulis ialah Profesor Madya di Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM)

No comments:
Post a Comment