Saturday, August 30, 2014

Ebola jejas kejohanan Piala Negara-Negara Afrika



DUA sukarelawan perubatan memakai sut pelindung ketika bertugas di sebuah fasiliti rawatan Ebola di bandar Kailahun, Sierra Leone pada 14 Ogos lalu.


FREETOWN - Wabak Ebola yang semakin merebak mencetuskan masalah besar dalam dunia sukan apabila Sierra Leone terpaksa mengambil pemain import bagi mewakili skuad bola sepak kebangsaannya menyertai kejohanan Piala Negara-Negara Afrika.
Tindakan drastik itu terpaksa dilakukan bagi mengelakkan proses kuarantin.
Sehingga kini, banyak negara Afrika menutup sempadannya dengan Sierra Leone, Guinea dan Liberia yang merupakan tiga negara paling teruk terjejas akibat wabak Ebola dengan hampir 1,552 kematian.
"Keseluruhan skuad Sierra Leone akan dianggotai oleh pemain profesional dari luar negara kerana mereka tidak memerlukan pengesahan bebas Ebola," kata Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Sierra Leone, Chris Kamara.
Menurutnya, perlawanan tuan rumah menentang Republik Demokratik Congo pada pusingan kelayakan 10 September ini juga tidak akan diadakan di Sierra Leone sebaliknya akan berlangsung di ibu kota Ghana, Accra.
Perubahan tersebut berlaku susulan arahan Persekutuan Bola Sepak Afrika (CAF) yang meminta Sierra Leone dan Guinea bermain di negara neutral bagi mengelak jangkitan virus maut Ebola.
"Kami sedih kerana terpaksa bermain di negara lain pada perlawanan di tempat sendiri," kata Setiausaha Agung Guinea, Ibrahim Blasco Barry.
Dalam pada itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia memberi amaran bahawa terdapat kira-kira 20,000 jangkitan Ebola yang dilaporkan setakat ini. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0830&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3Bop9TYFf 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment