Jokowi yang cuba mengelak menggunakan kaedah tradisional bagi pemilihan anggota Kabinet untuk meraih sokongan politik berkata, beliau mahukan sebuah pasukan menteri yang dikuasai golongan teknokrat profesional.
Beliau mengambil inisiatif sendiri sebagai Presiden yang menyerahkan senarai calonnya kepada KPK bagi pemeriksaan sebelum mengumumkan anggota Kabinetnya.
“Semalam, kami diberitahu oleh (KPK) .... terdapat lapan nama yang tidak dibenarkan.
“Sudah tentu kami akan menggantinya. Kalau tidak, siapa yang akan mengisi jawatan ini?’’ kata Jokowi pada sidang media pertamanya sebagai ketua kerajaan sebuah negara ekonomi terbesar di Asia Tenggara, hari ini.
Jokowi, bagaimanapun enggan untuk mendedahkan nama calon yang disifatkan oleh KPK sebagai bermasalah itu, dan bilakah tarikh baharu pengumuman senarai Kabinetnya akan dibuat.
Beliau merancang mengumumkan barisan 33 anggota Kabinetnya, semalam, sehari selepas pelantikannya sebagai Presiden baharu Indonesia.
Menurut Jokowi, anggota Kabinetnya akan terdiri daripada 18 teknokrat dan 15 lagi daripada lantikan parti politik.
“Setiap orang mahu kami be­kerja dengan pantas, namun apa yang akan berlaku sekiranya kami membuat kesilapan? Kami perlu bergerak segera dan juga betul,’’ kata Jokowi. – REUTERS