Kapal penyelidikan Kexue milik China digunakan untuk memasang boya di kawasan maritim di Laut Pasifik, semalam. – AGENSI
BEIJING 22 Okt. – China telah memasang 17 set boya di kawasan maritim di barat Lautan Pasifik, satu langkah yang dilihat memburukkan lagi ketegangan di rantau itu.
Agensi berita Xinhua melaporkan, misi tersebut dilakukan oleh kapal penyelidik Kexue milik China, tindakan pertama China meletak pelampung dalam skala yang besar.
“Boya itu menyediakan statistik saintifik penting mengenai keadaan laut dan iklim,” kata pakar dari Akademi Sains China, Hu Dunxin.
Menurut laporan itu, kapal itu dijangka kembali ke kawasan itu pada bulan depan ‘untuk menjalankan projek persekitaran lautan dalam’.
Beijing sering bertelagah dengan negara-negara jiran di sebelah Laut China Timur dan Laut China Selatan berhubung isu-isu kedaulatan wilayah dan kemampuan tentera lautnya sampai ke Lautan Pasifik, manakala Amerika Syarikat (AS) telah mengisytiharkan dasar luar ‘tunjang’ terhadap Asia.
China mendakwa seluruh Laut China Selatan adalah miliknya, dan sikapnya itu dilihat meningkatkan ketegangan dengan Filipina dan Vietnam, antara dua negara yang membuat tuntutan ke atas wilayah maritim itu.
Dua minggu lalu, Beijing mengumumkan pembinaan landasan pesawat tenteranya di Pulau Woody yang merupakan sebahagian daripada Kepulauan Paracel yang turut dituntut oleh Vietnam. – AFP
No comments:
Post a Comment