Gambar fail bertarikh 21 Ogos 2013 merakamkan anggota tentera laut dan kastam Australia mengiringi pemohon suaka politik ke Pulau Christmas, Australia selepas mereka diselamatkan dari sebuah bot yang sarat penumpang di tengah laut. – REUTERS
SYDNEY 22 Okt. – Seorang anggota Parlimen bebas Australia, hari ini meminta Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) menyiasat polisi ketat yang dilaksanakan ke atas pemohon suaka politik di negara ini, yang didakwa melanggar undang-undang hak asasi kemanusiaan.
Anggota Parlimen berkenaan, Andrew Wilkie dalam satu surat yang dikirimkan kepada ICC meminta ICC menyiasat jenayah kemanusiaan yang disyaki dilakukan oleh pegawai kerajaan Australia ke atas individu yang mahu mendapatkan suaka politik.
“Polisi ini memaksa lelaki, wanita dan kanak-kanak dipindahkan dan menjadi subjek yang boleh dipenjara sewenang-wenangnya menerusi perintah mandatori dan kadang-kala, mereka dikenakan penahanan tanpa had.
“Keadaan yang terpaksa dilalui oleh pemohon suaka politik ini menyebabkan pelarian mengalami penderitaan teruk serta menjejaskan fizikal dan mental mereka,” katanya.
Wilkie memutuskan untuk mengambil langkah tersebut selepas beberapa tahun beliau mencuba untuk mengubah polisi Australia ke atas pemohon suaka politik yang tiba di negara ini menaiki bot dan kemudian dihantar ke kem tahanan di Papua New Guinea dan Nauru.
Menurut Wilkie, di bawah polisi pemohon suaka politik Australia itu, individu yang tiba di perairan negara ini menaiki bot tanpa kebenaran akan dihantar ke kem tahanan.
Pemohon suaka politik juga tidak dibenarkan untuk menerima penempatan semula di Australia, walaupun mereka merupakan pelarian yang sah, sebaliknya perlu tinggal di kem tahanan atau diarah pulang ke tanah air masing-masing.
Wilkie juga mendakwa kerajaan Australia melanggar syarat-syarat yang diputuskan oleh persidangan antarabangsa mengenai pelarian dan hak asasi kanak-kanak serta perjanjian antarabangsa mengenai hak asasi awam dan politik.
Menteri Imigresen, Scott Morrison bagaimanapun berkata, dia tidak berasa terancam dengan tindakan Wilkie itu, sambil menambah kata, polisi pemohon suaka politik Australia adalah selari dengan undang-undang domestik serta garis panduan antarabangsa.
“Kerajaan tidak akan berasa takut dengan pihak yang menyeru supaya kembali kepada polisi awal yang menyebabkan (Australia mengalami) kerugian kos, huru-hara dan tragedi di sempadan negara,” katanya yang dipetik Australian Associated Press. – AFP
No comments:
Post a Comment