Friday, August 13, 2010

AS perlu kekal tentera di Iraq



LONDON 12 Ogos - Ketua tentera Iraq, Leftenan Jeneral Babakir Zebari (gambar) berkata, tentera Iraq tidak akan berupaya memastikan keselamatan negara itu sebelum 2020 dan Amerika Syarikat (AS) perlu mengekalkan askarnya sehingga tahun tersebut.
Zebari memberitahu satu persidangan pertahanan di Baghdad semalam tentera Iraq tidak mampu menjaga keselamatan tanpa bantuan askar AS, lapor akhbar Daily Telegraph di Britain hari ini.
Mengikut rancangan pentadbiran Presiden Barack Obama, tentera AS dijadual memulakan pengunduran dari Iraq pada akhir bulan ini, selain 50,000 askar yang akan terus berada di negara itu untuk membantu dan melatih pasukan keselamatan Iraq sebelum berundur sepenuhnya pada akhir 2011.
"Pada ketika ini, pengunduran berlangsung dengan lancar kerana masih ada askar AS di negara ini.
"Namun masalah akan mula timbul selepas 2011, kerana itu ahli-ahli politik mesti mencari jalan untuk mengisi kekosongan selepas 2011," kata Zebari.
Tambah jeneral itu, sekiranya beliau ditanya mengenai pengunduran tentera AS, beliau akan memberitahu ahli-ahli politik bahawa tentera AS mesti terus berada di Iraq sehinggalah tentera Iraq benar-benar bersedia pada 2020.
Keganasan di Iraq menurun sejak kemuncak sengketa Sunah- Syiah pada 2006- 2007, tetapi bilangan kematian penduduk awam akibat serangan bom, tembakan dan serangan lain melonjak pada bulan lepas.
Pegawai AS berkata, mereka menjangka keganasan menjadi bertambah buruk kerana gerila al-Qaeda mengekploitasi kegagalan puak- puak politik untuk mempersetujui kerajaan baru selepas pilihan raya Parlimen pada Mac lepas.
Di Washington, pegawai AS semalam memberikan penilaian positif mengenai situasi di Iraq dan menekankan keupayaan pasukan keselamatan Iraq yang semakin meningkat.
Walaupun Zebari menyuarakan amaran tersebut, Washington tetap berpegang dengan jadual pengundurannya yang asal, malah membayangkan hanya 'berpuluh-puluh' askar AS akan terus berada di Baghdad selepas 2011.
"Kita akan mencapai sasaran kita untuk menamatkan misi tempur pada akhir bulan ini," kata jurucakap White House, Robert Gibss. - Reuters

No comments:

Post a Comment