2010/08/12
BEIRUT: Tribunal Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menyiasat pembunuhan Perdana Menteri Lubnan, Rafiq Hariri bersedia menerima apa saja bukti yang relevan dalam siasatannya, termasuk daripada pihak Hizbullah. Jurucakap tribunal itu, Fatima Issawi, berkata demikian semalam sehari selepas Hizbullah mendedahkan rakaman pesawat pengintip Israel yang dipintasnya yang mungkin mengaitkan Tel Aviv kepada pembunuhan pada 2005 itu.
Pendakwa tribunal akan menyiasat sebarang dakwaan berdasarkan bukti berwibawa, kata jurucakap itu.
Pemimpin Hizbullah, Hassan Nasrallah Isnin lalu mendedahkan bukti bahawa Israel mungkin boleh dikaitkan dengan pengeboman yang membunuh Hariri pada 14 Februari 2005 bersama 22 orang yang lain di Beirut.
Nasrallah mendedahkan rakaman udara yang menunjukkan beberapa kawasan di Lubnan, termasuk lokasi di mana Hariri dibunuh.
Rakaman berkenaan yang diambil oleh pesawat pengintip MK tanpa juruterbang Israel, dipintas oleh kumpulan Syiah itu.
Hizbullah yang disokong Syria dan Iran dikatakan tertekan berikutan spekulasi tribunal PBB itu mahu mendakwa beberapa daripada anggotanya.
Perdana Menteri, Saad Hariri, sebelum ini berjanji akan mengisytiharkan jika ada anggota Hizbullah disabitkan di atas pembunuhan bapanya, mereka melakukannya secara bersendirian tanpa diarah kumpulan berkenaan. AFP
No comments:
Post a Comment