Friday, August 13, 2010

Hampir runtuh



Oleh Kandau Sidi

2010/08/11

LIMBANG: 'Ibarat telur di hujung tanduk'. Begitulah nasib enam keluarga di Kampung Bukit Kota, kawasan berhampiran lereng bukit dekat sini, yang kediaman mereka berdepan ancaman hakisan serius sejak lima tahun lalu. 

Masalah hakisan dikatakan semakin serius sejak kebelakangan ini berikutan musim hujan yang berterusan, dengan penduduk yang kini dilanda kebimbangan, terpaksa meletakkan kanvas bagi menutup kawasan tanah runtuh yang semakin tidak stabil.
Seorang penduduk kampung itu, Brahim Bakir, 81, berkata rumah mereka boleh runtuh pada bila-bila masa saja, terutama ketika cuaca hujan yang tidak menentu sekarang.
Katanya, apabila hujan lebat, mereka tidak dapat tidur terutama pada waktu malam kerana bimbang kediaman mereka akan ranap akibat tanah runtuh yang boleh berlaku bila-bila masa. 

"Igauan buruk ini sudah berlarutan sejak lima tahun lalu. Lagipun, rumah kami terletak hanya beberapa meter dari kawasan curam dan boleh runtuh jika hujan lebat berterusan," katanya kepada Berita Harian. 

Beliau berkata, kejadian tanah runtuh di kawasan bersebelahan juga di Kampung Bukit Kota lima tahun lalu, masih menghantui penduduk yang bimbang akan keselamatan mereka terutama anak-anak kecil. 

Brahim meminta agensi kerajaan berkaitan mengambil langkah segera bagi mengatasi masalah berkenaan sebelum sebarang kejadian buruk berlaku. 
Seorang lagi penduduk kampung itu, Kula Tangah, 74, berkata sebahagian depan dinding rumahnya sudah rosak akibat hakisan baru-baru ini. 

Beliau berkata, dinding rumah yang dihuni 13 ahli keluarganya termasuk cucunya sudah pecah dan bergoyang apabila berlaku angin kencang. 

"Siapa yang tidak risau melihat keadaan rumah kami yang rosak terutama selepas hujan lebat tanpa henti empat hari lalu. Kita bimbang jika cuaca buruk berlarutan, situasi akan bertambah buruk," katanya. 

Kebimbangan penduduk kampung itu turut mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Kota, Dr Abdul Rahman Ismail dan Pegawai Daerah Limbang, Anyi Ngau, yang mengambil kesempatan meninjau kediaman penduduk di situ. 

Dr Rahman memberi jaminan akan mencari jalan penyelesaian bagi membantu masalah penduduk berkenaan sekali gus mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku. 

"Kita akan mengarahkan Jabatan Kerja Raya (JKR) serta Jabatan Mineral dan Geosains turun padang, melakukan siasatan terhadap kawasan berisiko," katanya yang akan turut berbincang dengan jawatankuasa bencana bahagian Limbang bagi penyelesaian dan langkah terbaik untuk mengatasi masalah hakisan tanah di situ.

No comments:

Post a Comment