JOHOR BAHRU 12 Ogos – Jika anda ingin menikmati juadah berbuka puasa di bufet Ramadan yang disediakan oleh hotel-hotel di negeri ini, maka anda perlu lebih berhati-hati.
Ini kerana hanya terdapat 22 daripada ratusan restoran yang beroperasi di hotel-hotel di negeri ini memiliki sijil halal yang dikeluarkan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ).
Pengarah MAINJ, Datuk Abdul Rahman Jaafar berkata, hanya 22 restoran tersebut diluluskan selepas MAINJ memeriksa dan berpuas hati terhadap tahap kebersihan dapur dan penyediaan makanan atau minuman di restoran itu.
“Restoran ini membabitkan hotel-hotel yang beroperasi sama ada di Johor Bahru dan semua daerah negeri ini.
“Yang paling penting, orang ramai perlu memastikan restoran itu mempunyai sijil halal MAINJ yang belum luput tarikhnya bagi mengelakkan was-was dan sebagainya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Abdul Rahman berkata, restoran tersebut wajib mempamerkan sijil tersebut manakala pelanggan pula berhak bertanya mengenai status halal di restoran tersebut yang dibuktikan melalui sijil berkenaan.
Menurut beliau, pihaknya tidak mengeluarkan sijil halal untuk hotel kerana dalam sesebuah hotel mungkin terdapat dua hingga lima restoran.
“Maknanya di sini bukan kita mahu beri status hotel halal sebab bukan hotel yang halal atau tidak tetapi restoran yang beroperasi di hotel itu yang statusnya menyajikan makanan halal atau tidak.
“Kalau kita kata hotel halal nanti berlaku perbuatan maksiat dalam hotel bagaimana pula?” soalnya.
Tegas beliau, dalam sesebuah hotel juga terdapat sebuah restoran yang memiliki sijil halal manakala sebuah lagi restoran yang beroperasi di hotel yang sama tidak diberi sijil halal.
“Sebab itu, ini adalah peranan orang ramai untuk lebih berhati-hati dan pastikan restoran yang mereka kunjungi mempunyai sijil halal,” jelasnya.
No comments:
Post a Comment