Friday, August 13, 2010

Menanti roboh



Oleh Mohd Idris Sulaiman

2010/08/12

BOTA: Menanti masa untuk roboh. Begitulah yang boleh digambarkan keadaan kubah Masjid Fadzullah Telok Kepayang, Bota Kiri, dekat sini yang menanti masa untuk menyembah bumi. 

Ketua Kampung Teluk Kepayang, Meor Ismail Kamaruddin, 44, berkata masjid berkenaan sudah berusia 66 tahun dan perlu dibina baru berikutan strukturnya yang sudah reput.
Selain kubah menanti masa untuk roboh, beliau berkata, bahagian lain rumah ibadat itu juga sudah reput dan kelihatan begitu uzur, selain merbahaya kepada jemaah.
Usia masjid ini sudah terlalu tua. Kubahnya seberat 30 tan itu hanya menanti masa untuk roboh. Kami khuatir jika ia menimpa jemaah ketika bersembahyang, katanya ketika ditemui di sini. 

Beliau berkata, bumbung masjid juga sudah banyak bocor dan menyebabkan lantainya dipenuhi air apabila hujan. 

Bumbung masjid sudah banyak bocor dan setiap kali hujan pasti akan dipenuhi air. Melihat keadaan masjid ini maka sudah tiba masanya ia dibina baru, demi keselamatan orang ramai ketika menunaikan solat dan aktiviti agama di sini, katanya. 

Pengerusi masjid itu, Suruju Shaari, 61, berkata rancangan pembinaan masjid itu memang ada kerana ada tanah wakaf disediakan bagi tujuan itu yang terletak bersebelahan masjid sedia ada. 
Penduduk di sini juga sudah semakin ramai dan sewajarnya dibina masjid baru bagi memenuhi keperluan kariah, katanya. 

Beliau berkata, kampung terbabit juga memerlukan dewan baru kerana dewan sedia ada sudah tidak dapat memenuhi kapasiti penduduk yang semakin bertambah. 

Kini kami berkongsi dewan dengan penduduk Kampung Teluk Kepayang Hilir kerana kampung ini sendiri masih tidak mempunyai dewan sendiri. 

Masalahnya, Kampung Teluk Kepayang Hilir agak jauh dan kerana itu tidak ramai penduduk kampung ini dapat pergi ke sana untuk menyertai majlis atau program tertentu. 

Jika mempunyai dewan sendiri, kami dapat merancang aktiviti sendiri serta menambah pelbagai aktiviti lain untuk penduduk di sini, katanya. 

Meor Ismail berkata, pada masa ini jawatankuasa penduduk menyewa sebuah rumah untuk dijadikan Pusat Khidmat Kampung Teluk Kepayang. 

Kami terpaksa menyewa sebuah rumah untuk dijadikan pusat khidmat itu yang berfungsi sebagai tempat bagi penduduk kampung datang mengadu pelbagai perkara yang memerlukan perhatian kami, katanya. 

Jika kami mempunyai dewan sendiri lebih mudah untuk kami beroperasi untuk membantu pembangunan penduduk di sini, katanya.

No comments:

Post a Comment