Friday, August 13, 2010

Singapura lancar kempen galak bujang berpacaran






SINGAPURA: Singapura melancarkan satu lagi kempen untuk menggalakkan orang bujang di negara itu supaya mencari pasangan hidup.
Berdepan dengan masalah kadar perkahwinan dan kelahiran rendah ketika ini, Kementerian Pembangunan Masyarakat, Belia dan Sukan Singapura mengeluarkan tender bagi mana-mana pihak berminat mengemukakan cadangan untuk menggalakkan penduduk negara itu yang bujang mencari pasangan.
“Tender ini bertujuan bekerjasama dengan agensi komunikasi bagi merangka konsep, pelan dan pelaksanaan kempen menggalakkan aktiviti berpacaran,” kata kenyataan itu tanpa memberi sebarang perincian.

Akhbar Straits Times pula melaporkan, kerajaan akan memilih agensi yang mampu mengemukakan ‘konsep berpacaran unik’.

Sasaran kempen itu pula adalah kalangan orang bujang berusia di antara 20 hingga 35 tahun. Kempen itu dirancang sebagai inisiatif terbaru kerajaan untuk menjadi penemu jodoh bagi rakyat Singapura yang belum ada pasangan.

Ia juga dilaksanakan ketika kadar kelahiran dan perkahwinan di pulau itu terus merosot.

Daripada lima juta penduduk Singapura, lebih sejuta adalah warga asing.

Sempena sambutan Tahun Baru Cina Februari lalu, Perdana Menteri, Lee Hsien Loong, menggesa rakyat Singapura mengetepikan kepercayaan tahyul yang berkaitan dengan kalendar Cina dan berusaha mendapatkan lebih ramai anak.

Lazimnya masyarakat Tionghua enggan mendapatkan zuriat pada Tahun Harimau yang kali ini disambut Februari lalu. - AFP

No comments:

Post a Comment