Friday, August 13, 2010

Tony buat aduan diugut



PETALING JAYA 12 Ogos - Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua (gambar) membuat laporan polis setelah menerima sebutir peluru dan nota ugutan yang dialamatkan ke pusat khidmat beliau di Damansara Utara, semalam.
Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, nota yang tertulis dari Tangkak, Johor itu ditujukan kepada Ahli Parlimen DAP tersebut dan keluarganya.
Katanya, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan kerana ugutan dan laporan polis dibuat Tony di Balai Polis Damansara Utama di sini, pada pukul 4.30 petang.
"Kita telah mengambil peluru yang dihantar bersama surat ugutan terbabit untuk siasatan.
"Oleh itu kita telah memanggil Tony untuk siasatan malam tadi. Setakat ini, tiada individu ditahan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Arjunaidi tidak menolak kemungkinan nota ugutan tersebut dihantar oleh pihak yang tidak berpuas hati terhadap Tony.
Pada 26 Julai lalu, Tony menimbulkan rasa tidak puas hati ramai pihak apabila mencadangkan supaya Kerajaan Negeri Selangor memansuhkan dasar pemberian diskaun kepada bumiputera dalam pemilikan hartanah komersial dan mewah di negeri itu.
Beliau berkata, langkah tersebut mampu memberi kesan ekonomi lebih baik kepada kerajaan Selangor daripada segi persaingan termasuk meningkatkan keyakinan pelabur terhadap sektor hartanah di negeri itu.

No comments:

Post a Comment