Friday, August 13, 2010

Rumah daif 4 beradik dibaiki





ABDUL Rahman Mohamad (empat dari kanan) bersama empat beradik, Mohd. Zulaidil Adha (depan, kanan), Mohd. Fatihi, Alatin Syafikah dan Mohd. Fakri pada program membaik pulih rumah di Kampung Mentara Baru, Merapoh, Kuala Lipis, kelmarin.


KUALA LIPIS 12 Ogos - Impian empat beradik untuk berpuasa dan berhari raya dengan lebih sempurna tercapai apabila rumah mereka yang daif dibaik pulih di Kampung Mentara Baru, Merapoh dekat sini, baru-baru ini.
Selama ini empat beradik berkenaan, Mohd. Zulaidil Adha Abdullah, 13, Mohd. Fatihi, 11, Alatin Syafikah, 9, dan Mohd. Fakri, 7, tinggal di rumah usang itu setelah ibu bapa mereka berpisah sejak lima tahun lalu.
Dalam projek gotong-royong itu, seramai 200 penduduk kampung terlibat membaik pulih rumah empat beradik terbabit termasuk Jawatankuasa UMNO Bahagian Lipis, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Mentara Baru, Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), ahli Kembara Remaja Bermotor (Akrab), Majlis Daerah Lipis (MDL) dan polis.
Projek membaik pulih rumah berkenaan merupakan antara pengisian dalam program Juara Rakyat anjuran UMNO Bahagian Lipis.
Bapa saudara kepada empat beradik itu, Mohamad Abdul Wahab, 27, ketika ditemui selepas program gotong-royong itu berkata, dia bersyukur dan berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam kerja-kerja membaik pulih rumah berkenaan.
Menurutnya, dia mengambil alih tanggungjawab memelihara empat beradik itu selepas ibu bapa mereka berpisah.
"Dengan keadaan rumah yang lebih selesa, anak-anak saudara saya dapat berpuasa dan mengulang kaji pelajaran dengan lebih selesa," katanya.
Sementara itu Ketua UMNO Bahagian Lipis, Datuk Abdul Rahman Mohamad berkata, kerja-kerja membaik pulih rumah empat beradik malang itu merupakan antara usaha pihaknya membela golongan yang kurang bernasib baik.
"Penderitaan empat beradik ini telah dimaklumkan oleh UMNO cawangan dan JKKK Kampung Mentara Baru. Oleh itu, kita segera bertindak membaik pulih tempat tinggal mereka.
"Lagi pun sempena Ramadan ini, sudah tentu kanak-kanak itu perlu tinggal lebih selesa untuk menjalani ibadah puasa bersama bapa saudara mereka," katanya.
Abdul Rahman berkata, usaha membaik pulih rumah itu dilakukan di bahagian dapur yang pernah terbakar manakala bahagian bumbung yang rosak dan reput diganti baru.
"Kita juga bergotong-royong membersihkan persekitaran rumah yang dilitupi semak samun," katanya.
Menurut Abdul Rahman, pihaknya turut membina tandas, menyediakan tangki dan memasang paip untuk bekalan air bersih bagi mengelakkan kanak-kanak berkenaan menggunakan air sungai yang terletak 100 meter dari rumah mereka.
"Kita membelanjakan sebanyak RM3,500 untuk membeli peralatan memperbaiki rumah berkenaan. Selain itu, UMNO juga memberi sumbangan barang makanan untuk berbuka puasa, peralatan persekolahan, tilam, bantal dan selimut kepada empat beradik berkenaan," katanya.
Projek gotong-royong itu katanya, membuktikan keprihatinan pemimpin setempat, masyarakat dan agensi kerajaan untuk membantu golongan kurang bernasib baik.
UMNO Lipis tambahnya, akan terus memantau kebajikan empat beradik itu sehingga dipelihara kembali oleh ibu bapa mereka.

No comments:

Post a Comment