Tuesday, June 28, 2011

198 laman web digodam


KUALA LUMPUR 27 Jun – Sebanyak 198 laman web di dalam negara telah digodam dengan 90 peratus oleh penggodam dalam negara sepanjang minggu lalu.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim bagaimanapun berkata, bukan sahaja Malaysia yang mengalami situasi sedemikian, malah negara luar seperti Amerika Syarikat (AS) turut menghadapinya.

“Walaupun sebahagian besar daripada mereka (penggodam) telah berjaya menggodam beberapa laman web di negara ini, namun mereka tidak berjaya untuk melumpuhkan keseluruhan laman web yang telah digodam.

“Mereka melakukan godaman ini atas sifat ingin mencuba kemahiran yang dimiliki. Ilmu yang ada tidak seharusnya disalahgunakan dan sesiapa yang mempunyai niat jahat itu tidak akan dilepaskan,” katanya pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Md. Sirat Abu (BN-Bukit Katil) yang bertanya mengenai keseriusan aktiviti godam laman web yang melanda negara ini dan adakah kerajaan telah mengenal pasti individu yang terlibat.

Md. Sirat dalam soalan asalnya mahu kerajaan menyatakan apakah kedudukan kelajuan akses Internet di negara ini berbanding negara Asia yang lain dan sejauh mana usaha yang dijalankan untuk menaik taraf kelajuan akses Internet supaya rakyat mendapat perkhidmatan terbaik daripada pembekal yang bersaing.

Rais berkata, kerajaan sedang dalam usaha menambah baik akses Internet terutamanya di kawasan perkampungan agar setanding dengan negara-negara maju di Asia seperti Korea, Jepun dan Taiwan.

Beliau berkata, projek terbaru yang sedang dilaksanakan ialah mewujudkan jaringan jalur lebar atau akses Internet kepada 1,000 kampung dan kawasan perladangan.

“Daripada jumlah itu, hampir 400 kampung sudah diperuntukkan dengan kemudahan tersebut dan dibekalkan dengan kelajuan yang sedia ada,” katanya.

Menurut Rais lagi, projek besar itu dijangka meliputi kesemua kawasan perkampungan di seluruh negara dan ia disasarkan menjelang hujung tahun ini.

“Kita juga sedang dalam usaha meningkatkan kapasiti dan kualiti rangkaian teras iaitu rangkaian tulang belakang dan mewujudkan lebih banyak pusat pertukaran trafik Internet di seluruh negara,” katanya.

Utusan Malaysia Online - Parlimen

No comments:

Post a Comment