BALIK PULAU 27 Jun - Ibarat jatuh ditimpa tangga. Begitulah nasib seorang ibu tunggal lima anak di Kampung Simpang Empat di sini yang hidup melarat akibat kemiskinan setelah diceraikan suaminya tiga tahun lalu.
Sebaik diceraikan, Che Bashah Yusof, 39, terpaksa memikul tanggungjawab membesarkan kesemua anaknya sendirian meskipun tidak mampu bekerja akibat penyakit jantung yang dialaminya.
Lebih malang, dua daripada anaknya itu, Sharum Mizad Mohd., 15, dan adiknya Mohd. Syafiq, 13, tidak ke sekolah sejak Januari lalu kerana dia tidak mampu menyediakan kelengkapan persekolahan.
''Saya tidak ada duit. Bantuan RM400 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat digunakan untuk bayar sewa rumah RM280 dan selebihnya untuk bil air dan elektrik.
''Pernah sampai tiga hari, saya dan anak-anak hanya makan biskut dan air kosong sahaja. Meskipun hidup susah, saya tidak pernah merayu bantuan jiran. Alhamdulillah, anak-anak faham," katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.
Memburukkan keadaan, suaminya yang berkahwin lain, tidak pernah memberi nafkah atau menjenguk anak-anak sejak diceraikan tiga tahun lalu.
''Yang paling kasihan anak-anak. Mereka masih muda. Kerana kemiskinan, mereka tidak dapat ke sekolah dan ketinggalan dalam pelajaran.
''Meskipun sudah berusia 15 tahun, anak saya Sharum Mizad tidak dapat membaca dan menulis sedangkan dia akan menduduki Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun ini. Begitu juga dengan anak-anak saya yang lain," katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong, Muhammad Farid Saad berkata, beliau telah dihubungi Che Bashah empat hari lalu merayu bantuan untuk membeli makanan untuk anak-anaknya.
Menyedari kesulitan yang dialami ibu tunggal itu, beliau telah membantu mendaftarkan semula dua anak Che Bashah yang tidak mampu ke sekolah sejak enam bulan lalu selain memberi mereka bantuan barangan keperluan, basikal, kelengkapan persekolahan dan sedikit wang.
''Bantuan ini hanya sementara, yang lebih penting bagaimana kita boleh bantu keluarga ini untuk keluar daripada belenggu kemiskinan dan paling utama membantu anak-anaknya ke sekolah," katanya.
Orang ramai yang ingin membantu keluarga Che Bashah boleh menghubunginya menerusi talian 012-4824715.
No comments:
Post a Comment