PHNOM PENH 27 Jun - Empat pemimpin kanan Khmer Rouge yang masih hidup dibicarakan hari ini atas tuduhan melakukan jenayah perang, tiga dekad selepas revolusi 'Padang Pembunuhan' antara babak paling hitam dalam sejarah abad ke-20.
Kesemua defendan itu kini sudah tua dan uzur termasuk pegawai kanan Pol Pot yang merupakan pemimpin rejim komunis Khmer Rouge yang bertanggungjawab menyebabkan kematian kira-kira 1.7 juta rakyat Kemboja dari 1975 hingga 1979.
Orang kanan Pol Pot, Nuon Chea yang juga dikenali sebagai 'Saudara Nombor Dua'; bekas Presiden, Khieu Samphan; bekas Menteri Luar, Ieng Sary dan bekas Menteri Hal-Ehwal Masyarakat, Ieng Thirith tidak menunjukkan sebarang emosi ketika kenyataan pembukaan kepada tribunal tajaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu dibacakan di dalam sebuah auditorium yang penuh sesak.
Prosiding tersebut disiarkan melalui televisyen ke seluruh negara.
Hampir 25 peratus daripada penduduk Kemboja maut akibat diseksa, dibunuh, dibiarkan kebuluran dan dikerah menjadi buruk paksa semasa pemerintahan Khmer Rouge.
Empat defendan itu didakwa melakukan jenayah terhadap kemanusiaan dan pembunuhan kaum, selain pelbagai jenayah lain mengikut undang-undang antarabangsa dan Kemboja, termasuk pembunuhan, perhambaan, penindasan agama dan politik, layanan tidak berperikemanusiaan dan penahanan tidak sah.
Kesemua mereka dijangka mengaku tidak bersalah.
Pol Pot yang dikenali sebagai 'Saudara Nombor Satu' meninggal dunia pada 1998.
Sesi pembukaan perbicaraan menyaksikan percubaan pasukan peguam Ieng Sary untuk meminta tribunal membuang kesnya atas dakwaan dia telah dibicarakan sebelum ini atas tuduhan sama.
Ieng Sary dijatuhi hukuman mati oleh sebuah mahkamah yang didirikan oleh tentera Vietnam yang menyerang Khmer Rouge pada 1979 dan diberi pengampunan oleh Raja Norodom Sihanouk 17 tahun kemudian. - Reuters
No comments:
Post a Comment