Tuesday, June 28, 2011

PLO minta PBB iktiraf Palestin September ini


RAMALLAH 27 Jun - Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) secara rasmi mengumumkan, pihaknya akan mendapatkan pengiktirafan Palestin sebagai negara merdeka daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) September ini, lapor media tempatan semalam.

Pengumuman itu dibuat selepas satu pertemuan kepimpinan PLO di Ramallah.

"Saya pernah katakan, kami akan mendapatkan pengiktirafan PBB sekiranya rundingan gagal.

"Sehingga kini, masih belum ada usaha baru untuk kembali ke meja rundingan," kata Presiden Palestin, Mahmoud Abbas kepada perwakilan PLO semalam.

Setiausaha Jawatankuasa PLO, Yasser Abed Rabo turut menyeru semua negara di dunia agar menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Palestin.

Rancangan Palestin untuk mendapatkan pengiktirafan PBB sebagai negara merdeka berdasarkan sempadan 1967, merupakan satu langkah yang disifatkan Amerika Syarikat (AS) 'bukan pilihan' yang dibuat tanpa perjanjian dengan Israel.

AS dan negara-negara Eropah termasuk Jerman dengan jelas menyatakan, mereka membantah 'deklarasi satu pihak' pada September ini kerana ia tidak melibatkan Israel.

Bagaimanapun, Brazil dan Argentina menyokong usaha tersebut.

Rancangan mendapatkan pengiktirafan Palestin sebagai sebuah negara bebas itu juga menggambarkan kekecewaan Palestin berhubung proses damai yang terhenti dengan Israel.

Proses damai Palestin-Israel terhenti sejak Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu memerintah dua tahun lalu. - dpa

Utusan Malaysia Online - Luar Negara

No comments:

Post a Comment