THE HAGUE, 27 Jun – Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) hari ini mengeluarkan waran tangkap ke atas pemimpin Libya, Muammar Gaddafi kerana melakukan jenayah kemanusiaan terhadap penunjuk perasaan yang menentang rejimnya.
Dua lagi individu yang turut dikeluarkan waran tangkap oleh ICC ialah anak sulung Gaddafi, Saif al-Islam dan ketua risikannya, Abdullah Senussi.
Hakim Sanji Mmasenono Monageng mengumumkan keputusan itu mewakili barisan tiga hakim di The Hague dengan menyatakan waran itu dikeluarkan bagi memaksa Gaddafi dan dua pegawainya dihadapkan ke mahkamah.
Bagaimanapun, ICC tidak menyatakan bilakah waran tangkap tersebut akan dikuatkuasakan.
Ini merupakan kali kedua dalam sejarah sembilan tahun ICC yang menyaksikan seorang pemimpin negara dikeluarkan waran tangkap ke atasnya ketika masih memerintah.
ICC pada 2009 mengeluarkan waran sama ke atas Presiden Sudan, Omar al-Bashir.
Ketua pendakwa raya ICC, Luis Moreno-Ocampo mengemukakan bukti 74 muka surat kepada panel berkenaan pada 16 Mei lalu, yang meminta waran tangkap dikeluarkan ke atas Gaddafi, Saif dan Senussi.
Dalam pendakwaannya, pendakwa raya itu menyatakan ketiga-tiga individu tersebut telah bertemu dan merancang kekejaman ke atas penunjuk perasaan yang mengadakan bantahan di Libya pada pertengahan Februari lalu.
Ocampo berkata, Gaddafi dan Senussi didakwa mengeluarkan arahan supaya menyerang penunjuk perasaan, sementara Saif menguruskan pengerahan askar upahan di bahagian timur Libya.
Dalam pendakwaan itu, anggota keselamatan dan askar upahan didakwa menyerang orang awam menggunakan senjata berat semasa upacara pengebumian dan mengupah penembak tepat untuk membunuh orang ramai yang meninggalkan masjid.– Agensi
No comments:
Post a Comment