Tuesday, June 28, 2011

Permohonan gabung dua saman Felda ditolak


KUALA LUMPUR 27 Jun - Permohonan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail bersama tiga lagi defendan untuk menggabungkan saman Felda terhadap mereka dengan saman organisasi itu terhadap bekas Timbalan Menteri Tanah, Pembangunan dan Koperasi, Dr. Tan Kee Kwong ditolak Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Hakim Datuk John Louis O'hara menolak dengan kos RM2,000 permohonan peguam N. Surendran yang mewakili defendan.

Surendran mewakili Wan Azizah, Naib Presidennya, Dr. Syed Husin Ali, penyunting akhbarSuara Keadilan, Dzulkarnain Taib serta penulis artikel, Rusnizam Mahat.

Menurut peguam itu, defendan membuat permohonan tersebut atas alasan ia membabitkan fakta dan isu yang sama.

Namun begitu, katanya, peguam Datuk Mahinder Singh Dulku bersama Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin yang mewakili Felda selaku plaintif membantah permohonan itu kerana ia membabitkan dua saman yang berlainan.

Surendran berkata, ketika menolak permohonan tersebut, hakim itu menyatakan, mahkamah menyifatkannya sebagai pramatang dan perlu ditolak.

Pada 16 Ogos 2010, Felda atau Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan dan sebuah syarikat pelaburannya, Felda Global Ventures Holdings Sdn. Bhd. memfailkan saman fitnah RM200 juta terhadap enam defendan termasuk penerbit serta pencetak akhbar rasmi PKR tersebut ekoran penyiaran artikel bertajuk Felda Bangkrap.

Utusan Malaysia Online - Mahkamah

No comments:

Post a Comment