BAITULMAQDIS 27 Jun – Israel memberi amaran kepada wartawan asing yang ditangkap di dalam flotila kapal bantuan menuju ke Genting Gaza bahawa mereka akan diusir dan diharamkan memasuki negara itu selama 10 tahun.
Tindakan rejim Zionis itu boleh memburukkan lagi hubungan antara Israel dengan media antarabangsa.
Wartawan berkata, mereka patut dibenarkan membuat liputan mengenai kejadian yang wajar dilaporkan tetapi rejim Yahudi mendakwa, dengan menyertai flotila itu petugas media bersubahat dalam percubaan untuk melanggar sekatan tentera laut Israel ke atas Gaza, wilayah yang diperintah oleh Hamas.
Amaran Israel itu menggambarkan kebimbangannya terhadap flotila antarabangsa yang dirancang belayar semula ke Gaza tidak lama lagi, setahun lebih selepas misi serupa berakhir dengan pembunuhan sembilan aktivis Turki dalam pertempuran dengan komando tentera laut Israel yang memintas mereka.
Pengarah Pejabat Media Kerajaan, Oren Helman dalam suratnya kepada wartawan asing semalam menyifatkan flotila itu sebagai ‘provokasi berbahaya yang dianjurkan oleh anasir pelampau Barat dan Islam untuk membantu Hamas’.
Helman memberi amaran kepada wartawan bahawa dengan menyertai flotila itu, mereka ‘sengaja melanggar undang-undang Israel dan boleh diharamkan daripada memasuki Israel selama 10 tahun, dirampas peralatan mereka selain dikenakan sekatan tambahan’.
Persatuan Media Asing (FPA) yang mewakili ratusan wartawan yang bertugas untuk pertubuhan berita antarabangsa di Israel dan wilayah Palestin mengutuk keputusan Israel itu dan menggesa arahan tersebut dibatalkan.
“Ugutan kerajaan untuk menghukum wartawan yang membuat liputan mengenai flotila ke Gaza memberi mesej menakutkan kepada media antarabangsa dan menimbulkan persoalan serius mengenai komitmen Israel terhadap kebebasan akhbar,” menurut FPA dalam satu kenyataan. – Agensi
No comments:
Post a Comment