RAKYAT Afghanistan sudah mengalami kesengsaraan berpanjangan kerana konflik yang melanda negara mereka.
Hakikatnya, ia adalah perang yang sia-sia. Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama, diingati kerana memberi makna baru kepada penaklukan negara itu ke atas Afghanistan lapan tahun lalu.
Mencela tindakan George W Bush kerana melancarkan perang ke atas Saddam Hussein, Obama adalah seorang senator dari Chicago yang tidak dikenali tetapi tiba-tiba mengemukakan hujah meyakinkan kepada warga AS.
Kata Obama, Rumah Putih sepatutnya terus memberikan perhatian kepada Afghanistan dan tidak membiarkan fokus mereka diganggu daripada misi paling penting - menangkap atau membunuh Osama bin Laden serta menamatkan perkembangan al-Qaeda di barat daya Asia.
Secara ringkas, Obama mentakrifkan perang AS di Afghanistan adalah misi suci.
Justeru, apabila Obama berucap memberikan pengumuman ditunggu-tunggu mengenai kempen perang di Afghanistan, dia turut mengingatkan warga AS bahawa Osama serta al-Qaeda tidak lagi menjadi ancaman.
Katanya, misi AS kini disempurnakan dengan baik.
“Ini adalah permulaan - bukan penamat - bagi usaha kita mengendurkan perang,” katanya.
Tanpa mengulas panjang, Obama mahu menyampaikan mesej bahawa perbelanjaan sehingga bertrilion dolar ke atas ‘perang berniat baik’ ketika ekonomi AS masih belum mantap sebenarnya satu tindakan di luar rasional.
Obama juga jelas sedar pandangannya itu dikongsi kebanyakan warga AS.
Keputusan kaji selidik orang ramai yang diterbitkan sejurus sebelum Obama memberikan ucapan Rabu lalu menunjukkan, 65 peratus warga AS kini menolak perang di Afghanistan.
Ketika Obama berdepan cabaran getir untuk mendapatkan mandat kali kedua sebagai presiden tahun depan, dapat difahami apabila pemimpin AS itu mengambil sikap sangat berhati-hati.
Dia perlu menangani polisi luar AS dan kebimbangan domestik dengan baik.
Dalam keadaan memerlukan sokongan ramai, tentulah Obama tidak mahu mengambil risiko apabila menjadikan dirinya sasaran seteru di kalangan Republikan dengan membiarkan dilabel sebagai seorang lagi pemimpin Demokrat mengelak daripada ‘perang biasa.’ Justeru, ia menjawab persoalan mengapa Obama menghabiskan masa berhari-hari untuk menyusun dan melengkapkan ucapannya yang disampaikan hanya selama kira-kira 13 minit itu.
Pada akhirnya, tidak banyak kejutan dalam ucapan Obama itu.
Melalui ucapan itu, Obama menggariskan pelan tindakan menarik balik tentera AS dari Afghanistan.
Pengumuman itu memang dinanti-nanti dan sesetengah pihak menganggap, tindakan Obama memanggil balik 10,000 tentera tahun ini dan 23,000 lagi menjelang musim panas tahun depan sebelum pengunduran sepenuhnya pada 2014 sebagai ‘terlambat.’ Secara mudah, orang ramai sebenarnya menjangkakan Obama bertindak lebih pantas dan menyeluruh memanggil pulang tentera AS dari medan perang Afghanistan.
Apa pun, sebarang tindakan bagi menghentikan bencana di negara penuh konflik sejak beberapa dekad lalu itu perlu disambut baik.
Pengumuman Obama dibuat kurang seminggu selepas Presiden Afghanistan, Hamid Karzai, mendedahkan AS kini berunding dengan Taliban, musuh ketatnya di negara itu.
Persoalannya, mengapa rundingan itu tidak dilakukan lebih awal apabila ia boleh mengelak sekian banyak kemusnahan serta kematian ribuan orang tidak berdosa? Apakah yang ingin dicapai AS sebenarnya? Dalam ucapan, Obama memperingati kira-kira 450 tentera AS yang terbunuh dalam perang di Afghanistan.
Namun, bagaimana pula dengan mangsa perang itu? Bagaimana nasib ribuan warga Afghanistan yang terbunuh dalam konflik yang tidak ada kena-mengena sama sekali dengan mereka? Siapa bertanggungjawab atas kematian itu? Siapa yang akan menanggung segala kos membaik pulih negara yang sebelum penaklukan AS pun memang sengsara? Sangat penting untuk pihak yang mempunyai kesedaran bertanya bagi mendapatkan jawapan bagi soalan di atas.
Itu pun, jika kita mahu mengelak satu lagi perang yang dihalalkan atas nama ‘kebebasan’ dan ‘cara hidup kita.’ - AN
No comments:
Post a Comment