Undi pos tidak dimanipulasi UMNO, BN - Nazri
KUALA LUMPUR 27 Jun - Kerajaan hari ini menafikan dakwaan bahawa undi pos sering menjadi talian hayat dan dimanipulasi oleh UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk kelangsungan politik parti tersebut.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata, tiada juga unsur salah guna dalam undi pos kerana ia selaras dengan Peraturan 2, Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002.
"Peraturan itu menyebut anggota yang berkhidmat dengan mana-mana angkatan tentera laut tetap, angkatan tentera biasa tetap atau angkatan tentera udara tetap Malaysia, Komanwel atau negara lain yang masih berkhidmat layak untuk mendaftar sebagai pengundi tidak hadir (PTH).
"Sekiranya mereka ini bersara, mereka perlu memohon mendaftar semula sebagai pengundi biasa dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam masa yang sama akan memotong nama mereka daripada daftar pemilih PTH," katanya pada sidang Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan Dr. Mujahid Yusof Rawa (Pas-Parit Buntar) yang mendakwa kemungkinan wujud manipulasi dalam undi pos ekoran ada anggota tentera yang memiliki dua kad pengenalan iaitu awam dan tentera.
Mujahid dalam soalan asalnya mahu kerajaan menyatakan statistik pengundi tentera yang bersara bertukar status kepada pengundi awam.
Mohamed Nazri berkata, undi pos bukan sahaja memihak kepada UMNO dan BN, kerana dalam pilihan raya 1999 sehingga ke 2008, ia juga banyak memihak kepada pembangkang.
Sementara itu, beliau berkata, sepanjang tahun 2010, seramai 3,894 anggota tentera yang bersara telah memohon semula mendaftar sebagai pengundi awam.
No comments:
Post a Comment