Tuesday, June 28, 2011

Saksi sakit, perbicaraan ditangguh


SHAH ALAM 27 Jun - Perbicaraan kes kematian remaja, Aminulrasyid Amzah di Mahkamah Sesyen di sini ditangguhkan kepada Jumaat ini berikutan saksi yang sepatutnya menyambung keterangan hari ini mengalami sakit dada.

Hakim Latifah Mohd. Tahar membenarkan penangguhan di kamar beliau selepas bekas Ketua Bahagian Tempat Kejadian Jenayah (CSI) Makmal Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM), Amidon Anan mengadu kurang sihat.

Amidon yang dilantik sebagai perunding forensik bebas memberi keterangan sebagai saksi pembelaan kedua serta sedang disoal balas oleh pihak pendakwaan.

Beliau yang juga pensyarah pelawat di Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Fakulti Undang-Undang Universiti Teknologi Mara (UiTM) memberi pendapat berhubung siasatan di tempat kejadian jenayah.

Dalam kes ini, Koperal Jenain Subi, 49, dari Unit Kereta Peronda, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam sedang membela diri atas tuduhan menyebabkan kematian Aminulrasyid di Jalan Tarian 11/2, Seksyen 11 di sini antara pukul 1.10 dan 2 pagi, 26 April tahun lalu.

Bapa kepada empat anak itu dibicarakan mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Utusan Malaysia Online - Mahkamah

No comments:

Post a Comment