Sekumpulan pemuda diketuai AJK Pemuda UMNO, Lokman Noor Adam, dikatakan berkonvoi di hadapan bangunan ibu pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada jam 11 malam tadi.
100 pemuda yang berpakaian merah tersebut berhimpun di bangunan Merchant Square Tropicana, Petaling Jaya dan mengugut untuk membakar bangunan tersebut sekiranya PKR tetap menyertai perhimpunan anjuran BERSIH 2.0 pada 9 Julai nanti.
Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution dalam twitternya menyifatkan kumpulan pemuda tersebut sebagai "samseng upahan UMNO", malah memaklumkan bahawa laporan polis telah dibuat berhubung kejadian itu.
Dalam masa yang sama, EXCO kerajaan negeri Selangor, merangkap ADUN Bukit Lanjan, Elizabeth Wong juga turut membidas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin kerana membiarkan anak buahnya memasuki sempadan kawasan Bukit Lanjan dan mengugut untuk membakar bangunan ibu pejabat PKR.
Pemuda UMNO yang berada di situ dikatakan mencemuh Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim dan Pengerusi Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) Ambiga Sreenevasan.
Elizabeth menganggap tindak-tanduk Pemuda UMNO tersebut sekadar untuk menakut-nakutkan rakyat malah PKR tidak akan berganjak dan akan terus dengan perjuangan mereka.
Klip video yang merakamkan sebahagian kejadian tersebut juga telah dimuatnaik ke Youtube.
Patriot ditubuhkan oleh Pemuda UMNO dan Kelab Putra 1Malaysia, mendakwa mewakili suara orang ramai dalam menentang perhimpunan haram yang akan dianjurkan pada 9 Julai.
No comments:
Post a Comment