Berdasarkan satu kaji selidik yang dilakukan di kalangan 1,200 responden, tahap kepuasan rakyat Indonesia terhadap Susilo menurun ke paras 47.2 peratus berbanding 56.7 peratus pada Januari lalu.
Hasil kajian Lembaga Kaji Selidik Indonesia (LSI) mendapati, penurunan tahap kepuasan rakyat negara itu disebabkan kegagalan Susilo menyelesaikan pelbagai isu melibatkan parti pimpinannya, Parti Demokrat.
Faktor lain ialah hal-hal melibatkan pengurusan ekonomi negara serta kepentingan rakyat yang gagal ditangani Susilo turut menyebabkan beliau hilang kepercayaan.
Menurut Pengarah Lembaga Lingkaran Kaji Selidik Umum (LKSP) iaitu anak syarikat LSI, Sunarto Ciptoharjono, penurunan tahap keyakinan kepimpinan Presiden di bawah 50 peratus seharusnya dibimbangi Susilo saat ini.
"Ini merupakan saat yang kritikal bagi Presiden. Beliau (Susilo) harus berundur (bagi meningkatkan semula populariti) sebelum 2014 atau ia hanya akan memberikan kesan pada parti pimpinannya pada pilihan raya umum kelak (seandainya beliau tidak meletak jawatan)," katanya seperti dilaporkan media-media utama Indonesia hari ini.
Kata Sunarto, persepsi rakyat iaitu Susilo lambat mengambil tindakan proaktif dalam beberapa isu turut menjejaskan lagi kredibilitinya.
"Dakwaan skandal rasuah dalam parti pimpinannya secara tidak langsung membuatkan rakyat hilang percaya terhadap cita-citanya mahu membanteras rasuah," kata Sunarto.
Skandal rasuah yang melibatkan Bendahari Parti Demokrat, Muhammad Nazaruddin mencetuskan kebimbangan rakyat yang menjangka ramai lagi pihak yang terlibat sama dalam kes berkenaan.
Bahkan kes-kes lain termasuk skandal Bank Century dan isu perkembangan militan yang belum berakhir di Indonesia turut memberi kesan pada populariti Susilo. - Utusan
No comments:
Post a Comment