KETUA Polis Kedah, Datuk Ahmad Ibrahim (kiri) dan Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Adzaman Mohd Jan menunjukkan baju-T Bersih yang siap dicetak dalam serbuan di sebuah rumah kedai di Taman Nuri, Alor Setar, semalam. - Foto Shahrizal Md Noor |
PETALING JAYA: Penganjur perhimpunan haram, Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) sedia membatalkan perhimpunan yang dijadualkan Sabtu ini, jika Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin menitahkan demikian. Pengerusinya, Datuk Ambiga Sreenavasan, berkata keputusan itu dicapai pada mesyuarat bersama Ahli Jawatan Kuasa (AJK) BERSIH selepas titah Seri Paduka disiarkan media, malam kelmarin.
Beliau berkata, gabungan itu akan menghantar surat kepada Istana Negara untuk meminta perkenan menghadap Tuanku Mizan Zainal Abidin sebelum perhimpunan dijadualkan Sabtu ini.
“BERSIH menjunjung penghargaan kepada Yang di-Pertuan Agong atas sokongan Seri Paduka berhubung aspirasi rakyat melakukan pembaharuan sistem pilihan raya.
“BERSIH akan patuh dengan nasihat Seri Paduka supaya diadakan perundingan, ke arah mewujudkan satu konsensus nasional bagi reformasi sistem pilihan raya dan proses pembangunan demokrasi di Malaysia,” katanya pada sidang media di pejabat Persatuan Kesedaran Komuniti Selangor di sini, semalam.
Ambiga bagaimanapun, enggan mengulas lanjut ketika ditanya sama ada perhimpunan itu secara rasmi dibatalkan berikutan titah Seri Paduka bahawa demonstrasi jalanan banyak membawa keburukan daripada kebaikan walaupun niat asalnya baik.
“Saya akan membuat pengumuman rasmi sebaik saja pertemuan itu menjadi kenyataan,” katanya.
Diminta mengulas sama ada pihaknya akan membatalkan perhimpunan itu jika diminta oleh Seri Paduka, Ambiga berkata: “Ya. Tunggu saja pengumuman selepas pertemuan itu”.
Sebelum itu, beliau mengadakan pertemuan dengan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi berhubung isu mengadakan perhimpunan haram Sabtu ini.
Kelmarin, Yang di-Pertuan Agong bertitah, setiap permasalahan yang timbul perlu diselesaikan secara rundingan dan tidak mengikut perasaan seperti pepatah Melayu ‘Yang Dikejar Tak Dapat, Yang Dikendong Berciciran’.
“Hakikatnya, demonstrasi jalanan banyak membawa keburukan daripada kebaikan, walaupun niat asalnya baik,” titah baginda dalam satu kenyataan.
Diminta mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang bersedia membenarkan perhimpunan BERSIH jika diadakan di stadium, beliau berkata, ia akan dibincangkan kemudian.
Sementara itu, AJK Pemandu BERSIH, Subramaniam Pillay, berkata BERSIH bukan sebuah pertubuhan haram sebaliknya ia gabungan pertubuhan yang sah.
Sementara itu, BERNAMA melaporkan, Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, berkata parti itu sudah menghantar surat memohon menghadap Seri Paduka dan menjangkakan untuk menerima keputusan mengenainya semalam atau hari ini.
Mohamad berkata, PAS akan diketuai Presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bersama beberapa pimpinan tertinggi, termasuk beliau.
“Pandangan Yang di-Pertuan Agong hari ni amat amat baik, baginda meminta (rakyat) menjaga ketenteraman awam, menjaga keselamatan dan jangan menimbulkan sebarang bentuk (perlakuan) merosakkan harta benda dan keamanan.
“Inilah Raja perlembagaan yang betul, betul menjadi orang tengah dalam menyelesaikan kemelut yang ada sekarang ini,” katanya ketika berucap pada majlis ‘PAS Ganti Umno’ di kawasan Ladang malam kelmarin.
Berita Harian Online | Ambiga sedia batal
No comments:
Post a Comment