Tuesday, July 5, 2011

'Berhimpunlah tapi dalam stadium'

PM Najib: Kerajaan sedia izinkan Himpunan Bersih 2.0 dengan bersyarat

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak, berkata kerajaan sedia membenarkan Himpunan Bersih 2.0 jika ia diadakan di stadium.

'Ini satu peringatan sebelum terlambat. Jika mereka mahu menyerahkan memorandum dan sebagainya, mereka boleh menunjukkan dengan cara demokrasi dan bekerjasama dengan pihak berkuasa.

'Kami bersedia menyediakan satu stadium bagi mereka berhimpun tetapi mereka pilih jalan untuk protes.

'Kerajaan tidak menentang mereka berhimpun di stadium dari pagi sehingga malam. Jangan buat protes jalan kerana ia berisiko kepada negara,' kata beliau semalam.

Datuk Seri Najib berkata jika matlamat perhimpunan yang dilarang itu adalah bagi memperbetulkan sistem pilihan raya di negara ini, kenapa Barisan Nasional (BN) tewas di lima buah negeri pada pilihan raya umum 2008?

Beliau menjelaskan bahawa keadaan itu menunjukkan bahawa sistem pilihan raya yang diadakan di negara ini adalah bebas dan adil.

Malah, beliau berkata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga sanggup mengkaji dengan melakukan penambahbaikan, termasuk akan memperkenalkan sistem biometrik bagi memastikan sistem pilihan raya di negara ini, berjalan dengan adil.

'Tetapi yang anehnya apabila dah menang... sunyi sepi, tiada cerita pengundi hantu. Tiba-tiba apabila rasa dah dekat, timbul balik. Ini jenis hantu, ada masa timbul, ada masa dia hilang,' katanya ketika berucap pada perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri, semalam.

Perdana Menteri Malaysia itu berkata rancangan mengadakan perhimpunan atau demonstrasi jalanan oleh pihak berkepentingan pada 9 Julai ini bukannya cara yang baik dalam mencari penyelesaian.

'Kalau ada orang suka kepada rusuhan dan kekacauan, dia akan tumpang sekaki dan akan berlaku keadaan yang kita hendak elakkan,' katanya

Sementara itu, Bersih 2.0 berkata pihaknya berhasrat menghadap Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin, sebelum Sabtu ini dan bersedia membatalkan perhimpunan jika diminta berbuat demikian.

Pengerusi Bersih 2.0, Datuk Ambiga Sreenevasan, baru sahaja balik daripada mengadakan pertemuan dengan mantan Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi, pagi semalam.

'Bersih 2.0 akan akur dengan nasihat baginda agar diadakan perundingan, ke arah mencapai konsensus berhubung pembaharuan sistem pilihan raya dan pembangunan demokrasi di Malaysia,' katanya.

Apabila ditanya sama ada pihaknya akan membatalkan perhimpunan atas permintaan baginda kelak, Datuk Ambiga berkata:

'Ya.'

Sehingga kini lebih 150 orang yang dikaitkan dengan Himpunan Bersih 2.0 telah ditahan.

Sehubungan dengan itu, pucuk pimpinan tertinggi Parti Islam Semalaysia (PAS) turut menghadap Yang di-Pertuan Agong dalam tempoh terdekat, dipercayai bagi membincangkan isu berkaitan perhimpunan itu, kata Timbalan Presiden PAS, Encik Mohamad Sabu. -- Agensi.

Cyberita Online Luar Negara

No comments:

Post a Comment