Tuesday, July 5, 2011

Greece jadi boneka rejim Zionis

ATHENS - Kerajaan Greece menawarkan untuk menghantar bantuan kemanusiaan kepada Pihak Berkuasa Palestin, kelmarin selepas melarang konvoi ke Gaza meninggalkan pelabuhan negara itu dan menahan seorang kapten kapal.

Tawaran itu dilihat sebagai cubaan Athens untuk mengurangkan kritikan terhadap negara itu yang dianggap tunduk kepada desakan Israel dan sekutu kuatnya, Amerika Syarikat (AS) dengan menghalang perjalanan konvoi.

Konvoi kemanusiaan Freedom Flotilla II ke Gaza disertai 10 kapal dan ratusan sukarelawan dari pelbagai negara itu sepatutnya berlepas ke Genting Gaza, minggu lalu.

Percubaan kapal AS, Audacity of Hope untuk meneruskan perlayaran dihalang pasukan keselamatan marin Greece yang mengarahkan kapal itu berpatah balik sebelum menahan kapten kapal.

Greece mengeluarkan arahan, Jumaat lalu bahawa semua kapal konvoi itu dilarang meninggalkan pelabuhan Greece walaupun konvoi itu akan berlayar di perairan antarabangsa.

“Larangan dibuat kerana kebimbangan keselamatan dan selari dengan permintaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta cadangan Kesatuan Eropah (EU),” menurut Kementerian Luar Greece dalam satu lagi kenyataan, kelmarin.

Israel sejak awal lagi menggunakan pelbagai cara dan tekanan diplomatik bagi menghalang usaha konvoi kemanusiaan memecahkan sekatan haram rejim Zionis ke atas Genting Gaza.
SH

No comments:

Post a Comment