Tuesday, July 5, 2011

Suu Kyi cabar amaran tentera



Suu Kyi (tengah) tersenyum sebaik sahaja tiba di Lapangan Terbang Nyaung Oo di Bagan, tengah Myanmar, semalam. - AFP


BAGAN, Myanmar 4 Julai - Ikon demokrasi Aung San Suu Kyi melawat sebuah bandar kuil purba di Myanmar dengan anak lelakinya hari ini dalam percubaan pertamanya untuk bergerak bebas selepas dibebaskan oleh Junta.

Pemenang Anugerah Nobel Keamanan yang sebelum ini menerima amaran keras daripada rejim itu supaya tidak terlibat dalam politik selepas dibebaskan, disambut di lapangan terbang Bagan oleh sekumpulan wartawan dan polis berpakaian biasa.

Ia merupakan pengembaraan pertama Suu Kyi keluar dari Yangon selepas beliau dibebaskan daripada tahanan di rumah selama tujuh tahun pada November lalu.

Suu Kyi, bagaimanapun tidak memberi kenyataan sebaik-baik tiba dan terus menuju ke hotel dengan anak lelaki bongsunya, Kim Aris yang memberitahu AFP beliau sangat gembira kerana dapat bercuti selama empat hari bersama ibunya.

Sementara itu, timbalan ketua perwakilan Myanmar ke Amerika Syarikat (AS) di Washington hari ini memohon perlindungan politik di AS, lapor Radio Free Asia.

Menurut agensi berita tersebut, diplomat Kyaw Win, 59, yang berkhidmat di Washington sejak 2008 dilaporkan berpaling tadah kerana pemimpin Myanmar enggan melonggarkan cengkaman ke atas kerajaan.

"Pegawai kanan tentera memperkukuhkan lagi cengkaman mereka dan sedang mencari jalan untuk menghapuskan demokrasi," kata Win.

Tambahnya, ancaman terhadap Suu Kyi harus dipandang serius.

Win yang berkhidmat sebagai diplomat selama 31 tahun di empat negara merupakan timbalan ketua perwakilan kedua memohon perlindungan politik di Washington.

Pada Mac 2005, Aung Lynn Htut yang merupakan timbalan ketua perwakilan Myanmar ke sana turut memohon perlindungan politik di AS. - Reuters

Utusan Malaysia Online - Luar Negara

No comments:

Post a Comment