SHAH ALAM: Tiada yang lebih menarik perhatian pada hari pertama perbicaraan kes bunuh Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain di Mahkamah Tinggi, di sini, semalam, selain kehadiran anak sulung jutawan itu, Erni Dekritawati Yuliana Buhari, 26.
Wanita yang mewarisi empayar perniagaan ibunya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengarah Urusan Nouvelle Beauty Center Sdn Bhd itu hadir diiringi adiknya, Erni Erinawati Sofia, 22 dan peguam pemerhati mewakili keluarganya, Kamarudin Ahmad. Kelibat Erni Dekritawati Yuliana yang lebih mesra dengan panggilan Rita dengan berkemeja biru lembut dan memakai kaca mata hitam di lobi mahkamah seawal jam 8.30 pagi itu mencuri tumpuan utama lensa jurugambar dan jurukamera televisyen yang tidak henti-henti merakamkan gambarnya. Hadir sama, seorang lagi adiknya Erni Reenilawati, 16, dan bapa mereka, Buhari Mohamed. Rita yang memiliki kulit putih mulus persis Sosilawati itu akan memberi keterangan dari kandang saksi sebagai orang terakhir yang melihat ibunya sebelum jutawan kosmetik itu bertolak ke Banting untuk bertemu seorang peguam pada hari kejadian. Tiga beradik itu bersama bapa kandung yang akan tampil sebagai saksi pendakwaan itu tidak memberikan sebarang kenyataan dan bergegas menuju kamar Mahkamah Tinggi 7 yang menempatkan saksi, bertentangan dengan perbicaraan kes di kamar Mahkamah Tinggi 8. Terdahulu, polis membawa masuk 192 barang kes mulai jam 9 pagi termasuk pelbagai barangan peribadi milik mangsa seperti dua telefon pintar Blackberry, jam tangan mewah jenama Bell & Ross dan Longines dan kunci kereta BMW yang ditemui di beberapa lokasi di Banting.
No comments:
Post a Comment