Tuesday, July 5, 2011

Ketua pemberontak izin Gaddafi tinggal di Libya

BENGHAZI: Ketua pemberontak Libya berkata Encik Muammar Gaddafi boleh tinggal di negara itu dengan syarat beliau melepaskan kuasanya.

Sebelum ini, Encik Gaddafi menolak semua gesaan antarabangsa supaya meletak jawatan sebagai presiden, sebaliknya bertegas akan berjuang bermati-matian.

'Sebagai satu huraian damai, kami menawarkan agar beliau meletak jawatan dan mengarahkan semua askarnya berundur dari posisi dan berek mereka dan kemudian beliau boleh memutuskan sama ada untuk tinggal di Libya atau di luar negara,' kata pemimpin pemberontak, Encik Mustafa Abdel Jalil, yang mengetuai Majlis Peralihan Kebangsaan.

'Jika beliau ingin tinggal di Libya, kami akan menetapkan tempatnya dan ia akan diletakkan di bawah pengawasan antarabangsa.'

Menurut beliau, yang merupakan mantan menteri keadilan dalam pemerintahan Encik Gaddafi, usul itu dimaklumkan kepada Tripoli sebulan lalu melalui Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Namun, sehingga kini, pihaknya belum mendapat sebarang jawapan.

Antara saranan yang diusulkan ialah bagi Encik Gaddafi menghabiskan usia persaraannya di sebuah berek tentera yang dikawal.

Minggu lalu, anak perempuan Encik Gaddafi, Cik Aisha, berkata bapanya bersedia berunding dengan pemberontak tetapi menegaskan beliau tidak akan meninggalkan negara itu.

Anak lelakinya, Encik Saif al-Islam, turut menolak usul agar bapanya meninggalkan Libya.

'Untuk menggesa ayah saya meninggalkan negara ini, ia satu jenaka. Kami tidak akan menyerah kalah. Kami akan berjuang. Ini negara kami,' katanya kepada saluran televisyen Perancis, TF1.

Perdana Menteri Libya, Encik Al-Baghdadi Ali Al- Mahmoudi, pula berkata rakyat Libya sendiri tidak mahu Encik Gaddafi berundur.

'Anda lihat semua orang - daripada kanak-kanak kepada lelaki tua - semua sayangkan Muammar Gaddafi. Mereka semua sayangkan beliau,' katanya kepada saluran televisyen Al-Arabiya.

Jumaat lalu, Encik Gaddafi menggesa Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) agar menghentikan pengeboman ke atas negaranya atau berdepan dengan serangan pejuang Libya yang akan menyerang Eropah 'seperti sekawan lebah atau belalang juta'. -- Reuters.

Cyberita Online Luar Negara

No comments:

Post a Comment