ANTARA kemudahan awam yang disembur cat kuning oleh pihak tidak bertanggungjawab di sekitar Alor Setar, semalam. |
ALOR SETAR: Perhimpunan haram belum pun diadakan, tetapi kesannya mula dilihat di negeri ini apabila beberapa kenderaan di Jitra dan lot kedai serta bangunan pejabat Perhubungan UMNO Kedah disembur dan diconteng dengan perkataan 'BERSIH' oleh pihak tidak bertanggungjawab, awal pagi semalam.
Difahamkan sekurang-kurangnya empat kereta dan van yang diletak di depan lot kedai sekitar Jitra disembur dengan cat kuning bertulis ‘BERSIH’, manakala lambang UMNO di Bangunan Tunku yang menempatkan Pejabat UMNO negeri diconteng dengan perkataan ‘bodoh jom BERSIH’.
Pengerusi Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah, berkata kejadian itu menunjukkan sikap pengecut pelakunya dan hanya menggambarkan perasaan terdesak mereka untuk mendapat sokongan orang ramai.
Ahmad Bashah menganggap perbuatan itu sebagai provokasi pihak tertentu berikutan pendirian UMNO yang menentang perhimpunan haram BERSIH.
“Kita sudah laporkan hal ini kepada polis untuk disiasat dan kita harap orang yang tidak bertanggungjawab ini dapat diberkas segera.
“Kita tetap dengan pendirian menentang perhimpunan haram dan tidak akan gentar menghadapinya walaupun ada pihak terus membuat provokasi,” katanya di sini, semalam.
Di JITRA, seorang pemandu, Nordin Hassan, 48, berkata van syarikat diletakkan di belakang Pasar raya Yawata sejak petang kelmarin turut disembur cat kuning bertulis perkataan ‘BERSIH’ yang pagi semalam.
“Kenapa perlu babitkan kenderaan awam, saya tidak buat salah apa pada mereka. Ini adalah kenderaan syarikat yang saya guna untuk mendapatkan nafkah buat keluarga saya,” katanya.
Peniaga, Ng Ah Huat, 55, berkata, dia hanya menyedari kenderaannya disembur jam 9 pagi ketika mahu memulakan perniagaan berhampiran Kompleks Jitra dekat sini.
“Saya memang letak kereta di sini dan tidak pernah diganggu. Saya tidak tahu dan tidak mahu menuduh sesiapa dalam hal ini tetapi saya harap supaya ia dihentikan,” katanya ketika ditemui, semalam. Berita Harian Online | Kereta, kemudahan awam disembur cat kuning
No comments:
Post a Comment