PUTRAJAYA - Datuk Seri Najib Tun Razak, mengingatkan rakyat supaya tidak melakukan perkara yang boleh merosakkan atau menghancurkan apa yang dibangunkan selama ini.
Perdana Menteri berkata, rancangan mengadakan perhimpunan haram atau demonstrasi jalanan oleh pihak berkepentingan pada 9 Julai ini, bukannya cara baik dalam mencari penyelesaian.
“Perhimpunan haram sebenarnya bukan tujuannya untuk memperbetulkan sangat sistem yang ada, tetapi bermotifkan politik untuk mendapatkan kuasa melalui cara tidak demokratik.
“Melalui demonstrasi jalanan, tiada jaminan segalanya boleh berlaku dengan aman.
“Kalau ada orang suka kepada rusuhan dan kekacauan, dia akan tumpang sekaki dan akan berlaku keadaan yang kita hendak elakkan,” katanya ketika berucap pada perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri di sini, semalam.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan dan beberapa menteri Kabinet.
Najib berkata, sebenarnya ada pendekatan lain untuk menangani sesuatu isu itu dan jangan melakukannya kerana dipengaruhi oleh emosi.
“Kita sanggup sediakan stadium untuk berkumpul tetapi kenapa memilih demonstrasi jalanan, mesti ada niat lain. Kalau mereka daripada awal kata nak berkumpul daripada pagi hingga malam di stadium dan balik dengan baik, saya percaya kerajaan tiada halangan.
“Kumpullah di stadium, berpekiklah sampai tak larat, tidak menjadi masalah tetapi jangan buat demonstrasi jalanan kerana ia boleh mengundang risiko berbahaya kepada negara,” katanya.
Najib berkata, jika matlamat perhimpunan haram itu adalah untuk memperbetulkan sistem pilihan raya di negara ini, kenapa Barisan Nasional (BN) tewas di lima buah negeri pada pilihan raya umum 2008.
Perdana Menteri menjelaskan keadaan itu menunjukkan sistem pilihan raya yang diadakan di negara ini adalah bebas dan adil.
Beliau berkata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga sanggup mengkaji dengan melakukan penambahbaikan, termasuk memperkenalkan sistem biometrik bagi memastikan sistem pilihan raya, berjalan dengan adil.
“Tetapi anehnya bila dah menang, sunyi sepi, tiada cerita pengundi hantu. Tiba-tiba bila rasa dah dekat, timbul balik. Ini jenis hantu, ada masa timbul, ada masa dia hilang,” katanya.
Perdana Menteri juga mengingatkan rakyat supaya mendengar nasihat daripada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin, lebih banyak keburukan daripada kebaikan dengan mengadakan perhimpunan haram itu.- Bernama
No comments:
Post a Comment