Tuesday, July 5, 2011

Pejabat PKR cuba di ceroboh



SITIAWAN – Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Lumut mendakwa pejabat parti itu, yang beralamat di No 6 Tingkat Atas, Taman Pegawai, di sini cuba di ceroboh sekumpulan belia pada 30 Jun lalu.

Ketua PKR Cabang Lumut, MP Shanmugam berkata, beliau mendapat tahu mengenai kejadian itu pada jam 6.20 petang melalui panggilan telefon dari seorang jiran berdekatan.

“Saya dimaklumkan bahawa sekumpulan remaja atau belia bermotosikal berkumpul di hadapan Pejabat PKR Cabang Lumut, ketika itu.

“Mengikut maklumat yang saya perolehi, mereka berkumpul dan membuat bising di hadapan pejabat PKR serta terdapat percubaan untuk menceroboh ke dalam pejabat,” katanya ketika ditemui di Pejabat PKR Cabang Lumut, di sini.

Shanmugam mendakwa, kumpulan belia itu juga menunjukkan lagak ganas dan sombong serta mengeluarkan kata-kata berbaur lucah.

“Ketika mendapat perkhabaran itu saya tidak berani untuk terus ke pejabat bersendirian kerana bimbang diapa-apakan.

“Saya terus ke Balai Polis Sitiawan untuk membuat laporan bagi membolehkan polis mengambil tindakan segera,” kata Shanmugam.

Selepai membuat laporan polis, beliau ke Pejabat PKR Cabang Lumut dan mendapati dua kereta peronda polis berada di premis itu.

Katanya, kehadiran pihak polis menyebabkan kumpulan terbabit bertempiaran melarikan diri.

“Saya tidak dapat mengenal pasti atau mengecam mana-mana individu terbabit dalam kumpulan itu, malah tidak berkesempatan mengambil gambar mereka ketika itu.

“Saya melaporkan kejadian ini bukan untuk tujuan mencari populariti atau bermegah-megah, tetapi mencari keadilan demi masa hadapan rakyat di Parlimen Lumut,” katanya.

Beliau berharap polis dapat memantau perkara berkenaan sebelum berlaku sesuatu perkara yang tidak diingini.
SH

No comments:

Post a Comment